DAEGU: Rumah bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye di Daegu disita sementara selepas mahkamah memutuskan beliau gagal membayar hutang tertunggak sebanyak 1 bilion won (RM2.69 juta) kepada pengendali saluran YouTube tempatan.
Menurut laporan media tempatan hari ini, Mahkamah Daerah Pusat Seoul meluluskan permohonan saluran YouTube HoverLab dan ketuanya, Kim Se-eui, untuk menyita hartanah tersebut.
Geun-hye meminjam 2.5 bilion won daripada Se-eui pada 2022 untuk membeli rumah itu selepas menerima pengampunan daripada pentadbiran Moon Jae-in, semasa menjalani hukuman penjara 20 tahun.
Yoo Yeong-ha, seorang ahli Parti Kuasa Rakyat (PPP) – parti pembangkang utama dan kenalan rapat Geun-hye – memperoleh hartanah tersebut atas nama beliau menggunakan dana yang dipinjam.
Menurut Se-eui, kedua-dua Yeong-ha dan Geun-hye tidak melunaskan hutang itu selama empat tahun, dan beliau mendedahkan perkembangan itu di salurannya.
Geun-hye berhutang 900 juta won kepada Se-eui dan 100 juta won kepada HoverLab.
“Geun-hye memindahkan 1.5 bilion won sebulan selepas dia berpindah, jadi saya menyangka dia akan segera membayar baki hutang. Itu berlaku empat tahun lalu,” kata Se-eui, sambil menambah bahawa Geun-hye dan Yeong-ha mengabaikan dokumen yang dihantar dua kali sejak itu untuk menyelesaikan hutang.
Yeong-ha sebelum ini berkata, wang tersebut akan dilunaskan daripada pendapatan Geun-hye, termasuk royalti daripada bukunya.
Geun-hye pada 2017 menjadi presiden Korea Selatan pertama yang digugurkan melalui pemecatan, dan ditarik hampir semua faedah, termasuk pencen presiden.
Dilaporkan pada 2022, beliau tidak mempunyai sebarang aset selepas membayar denda dan penalti yang dikenakan mahkamah atas kegiatan jenayahnya.
Daegu merupakan tempat kelahiran Geun-hye dan dianggap sebagai kubu kuat konservatif dalam politik Korea Selatan.- AGENSI










