Fenomena laut ‘terbelah dua’ di Pulau Pangkor tarik pengunjung

Fenomena laut ‘terbelah dua’ di Pulau Pangkor tarik pengunjung

ORANG ramai merasai pengalaman berjalan kaki dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam di tengah laut berikutan fenomena air surut menyebabkan laut seakan terbelah dua di Pulau Pangkor, Lumut, Perak, semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ribuan pengunjung menyaksikan fenomena air laut surut di Pulau Giam, Pulau Pangkor di sini semalam yang lazimnya berlaku pada awal Februari setiap tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati air laut surut sehingga kelihatan seolah-olah laut terbelah dua.

Keadaaan itu sekali gus membolehkan orang ramai dan pelancong menyeberang dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam dengan hanya berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, fenomena kali ini berlaku antara 2 hingga 4 Februari bermula pukul 11 pagi apabila paras air laut menjadi lebih rendah daripada biasa.

Menurutnya, fenomena itu menawarkan pemandangan luar biasa dan menarik kehadiran pengunjung sejak beberapa hari lalu.

“Fenomena ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk setempat malah menjadi tarikan pelancong pelbagai kaum.

“Tahun ini, kebetulan berlaku sempena cuti Thaipusam menyebabkan kehadiran pengunjung meningkat dengan masing-masing mengambil peluang bercuti untuk menyaksikan fenomena ini,” katanya.

Tambah Norhaslinda, fenomena air surut itu merupakan peristiwa semula jadi yang jarang berlaku.

“Setiap kali ia berlaku, ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat struktur terumbu karang di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Juwita Humaira, 25, berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk bercuti bersama rakan-rakan dari Pulau Pinang ke Lumut sebelum ke Pulau Pangkor bagi menyaksikan fenomena tersebut.

“Ini kali pertama saya melihat fenomena unik ini dan ia benar-benar mengujakan. Saya terpesona kerana tidak menyangka Pulau Giam mempunyai pantai yang indah dan bersih,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Melaka, Nor Idura Fatinie Ariffin, 21, berkata, dia teruja melihat keunikan laut yang seolah-olah terbelah dua selepas membaca mengenainya menerusi media sosial.

“Saya memang sukakan Pulau Pangkor kerana keindahannya, kebersihan pantai dan layanan peniaga yang peramah. Harga makanan juga berpatutan. Ini kali pertama saya dapat berjalan kaki dari pantai ke pulau di tengah laut dan ia satu pengalaman yang sangat menarik,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×