BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akan mengemukakan cadangan kerjasama mineral kritikal kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menyekat pengaruh China, sekali gus cuba mengimbangi usaha pentadbiran Donald Trump untuk memeterai perjanjian global minggu ini.
Menurut sumber, EU bersedia untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AS bagi membangunkan Pelan Hala Tuju Rakan Strategik dalam tempoh tiga bulan.
Kerjasama ini bertujuan untuk mencari jalan bersama dalam mendapatkan sumber mineral kritikal yang sangat diperlukan bagi kebanyakan teknologi moden, tanpa perlu bergantung kepada China.
Sebelum ini, kedua-dua pihak iaitu AS dan EU dilihat terlalu terikat dengan bekalan mineral China yang meluas dan murah, sekali gus memberi kelebihan kepada Beijing untuk mengawal rantaian bekalan mereka.
Cadangan berkenaan menawarkan beberapa kaedah untuk mengurangkan kebergantungan tersebut, termasuk meneroka projek mineral kritikal bersama serta mewujudkan mekanisme sokongan harga.
Selain itu, ia turut mengesyorkan langkah untuk melindungi kedua-dua pasaran daripada lambakan bekalan mineral luar serta sebarang bentuk manipulasi pasaran.
Pada masa sama, cadangan tersebut menekankan kepentingan untuk kedua-dua pihak membina rantaian bekalan yang selamat sesama mereka bagi memastikan kestabilan industri teknologi masa hadapan.
Cadangan EU itu turut menegaskan agar kedua-dua pihak menghormati integriti wilayah masing-masing.
Langkah ini dipercayai mempunyai kaitan dengan ketegangan hubungan AS-EU baru-baru ini selepas Trump memberi isyarat mengenai rancangan untuk membeli Greenland, sebuah wilayah milik Denmark yang merupakan anggota EU.
Usaha EU ini muncul ketika AS sedang bersiap sedia untuk mengumpulkan puluhan menteri luar dan pegawai kanan dari negara sekutu pada Rabu bagi memeterai perjanjian untuk mengurangkan pergantungan kepada mineral kritikal dari China.
Meskipun banyak pentadbiran AS sebelum ini telah mencuba strategi yang sama selama bertahun-tahun dengan kejayaan yang terhad, langkah kali ini dilihat lebih mendesak.
Suruhanjaya Eropah, yang merupakan badan eksekutif EU, menyifatkan rundingan tersebut sebagai sangat penting untuk mempelbagaikan bekalan mereka agar tidak hanya bergantung kepada satu-satu negara sahaja, tanpa memberikan ulasan lanjut mengenai butiran terperinci cadangan blok berkenaan. -AGENSI










