BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) membuka siasatan terhadap gergasi runcit dalam talian, Shein, berhubung penjualan anak patung seks menyerupai kanak-kanak yang digelarnya sebagai ‘reka bentuk ketagihan’ platform tersebut.
Shein mendapat pengawasan ketat pada November 2025 selepas pihak berkuasa Perancis mengutuk gergasi tersebut kerana menampilkan anak patung seks yang menyerupai kanak-kanak.
Siasatan itu merupakan yang pertama Suruhanjaya Eropah ke atas Shein di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA), undang-undang gergasi EU yang bertujuan menentang penyebaran kandungan dan barangan haram secara dalam talian.
Suruhanjaya Eropah berkata, ia sedang menyiasat penjualan produk haram termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak dan akan meneliti kekurangan ketelusan dalam sistem cadangan Shein.
Shein, yang ditubuhkan di China pada 2012 dan kini berpusat di Singapura, berkata ia akan terus bekerjasama dengan suruhanjaya berkenaan.
“Kami berkongsi objektif suruhanjaya untuk memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai serta akan terus berinteraksi secara membina dalam prosedur ini,” kata Shein dalam satu kenyataan.
Susulan kemarahan di Perancis, Shein berkata, ia segera menurunkan produk tersebut dan mengharamkan penjualan anak patung seks di seluruh dunia, tanpa mengira rupa bentuknya.
Shein antara lebih 20 platform dalam talian popular yang mesti mematuhi Akta Perkhidmatan Digital (DSA) atau berisiko dikenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan global mereka, malah berdepan pengharaman jika melakukan pelanggaran serius dan berulang.
EU berkata, siasatan itu akan menumpukan pada sistem yang disediakan oleh Shein untuk menghalang penjualan produk haram dalam blok 27 negara itu.
Produk tersebut turut merangkumi senjata serta mainan, pakaian, kosmetik dan elektronik yang tidak selamat atau tidak mematuhi peraturan EU.
Pihak pengawal selia juga sedang meneliti risiko berkaitan ‘reka bentuk ketagihan’ platform itu, seperti memberi pengguna mata atau ganjaran atas penglibatan mereka.
“Ciri ketagihan boleh memberi impak negatif terhadap kesejahteraan pengguna dan perlindungan pengguna dalam talian,” kata suruhanjaya itu.
“Kami mengesyaki Shein memandang rendah isu ini dalam penilaian risiko dan juga tidak meletakkan langkah yang seimbang untuk menangani risiko khusus ini,” kata seorang pegawai EU.- AGENSI










