WASHINGTON: Pesalah seks, Jeffrey Epstein, dilaporkan cuba membeli sebuah istana bernilai jutaan dolar di Maghribi, sehari sebelum beliau ditangkap pada 2019.
Menurut dokumen yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, Epstein berusaha untuk mendapatkan Bin Ennakhil sejak 2011, tetapi pertikaian dengan penjual mengenai harga dan pengaturan pembelian berlarutan selama bertahun-tahun.
Istana mewah yang terletak di kawasan Palmeraie, Marrakech, itu digambarkan sebagai karya agung seni bina, yang dibina oleh 1,300 tukang dan menampilkan ukiran serta mozek berhias.
Epstein menandatangani pemindahan wang sebanyak AS$14.95 juta (RM58 juta) pada 5 Julai 2019, sehari sebelum ditangkap, susulan persetujuan untuk membeli syarikat luar pesisir yang memiliki hartanah itu dengan harga 18 juta pound.
Dokumen itu menyatakan pemindahan wang tersebut merupakan transaksi kewangan besar terakhir Epstein sebelum ditangkap pihak berkuasa AS atas tuduhan pemerdagangan seks sejurus beliau kembali ke New York.
Tiga hari selepas penangkapan, akauntan Epstein, Richard Kahn, membatalkan pemindahan wang itu dan pembelian itu akhirnya tidak selesai.
Maghribi tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan AS dan media tempatan membuat spekulasi motif Epstein membeli hartanah itu mungkin untuk berlindung di negara tersebut bagi mengelak penangkapan sekiranya tuduhan baharu dikenakan ke atasnya.
Bagaimanapun, seorang bekas rakan sekerja Epstein, yang enggan dinamakan, berkata transaksi itu menunjukkannya tidak menyedari tentang penangkapan yang hampir berlaku.
“Ia masuk akal jika beliau sedang memikirkan tempat perlindungan yang membolehkan dia terus hidup seperti seorang raja,” katanya.
Namun, dokumen yang dikeluarkan itu tidak mengandungi sebarang rujukan Epstein membincangkan Maghribi sebagai tempat perlindungan daripada pihak berkuasa AS.
Hubungan Epstein dengan Maghribi bermula sekurang-kurangnya sejak awal 2000-an, apabila Virginia Giuffre, salah seorang pengadu paling terkenal terhadapnya, menceritakan dalam memoirnya tentang penerbangannya ke Tangier oleh Epstein dan Ghislaine Maxwell untuk meninjau reka bentuk dalaman beberapa hartanah mewah.
Pada masa itu, Epstein ingin mereka semula beberapa bahagian kediaman pulau miliknya mengikut gaya Maghribi.
Pada 2002, Epstein menghadiri perkahwinan Raja Maghribi, Mohammed, bersama Maxwell, setelah dijemput oleh bekas Presiden AS, Bill Clinton.- BBC










