Dua penjawat awam direman bantu siasatan kes perakuan tuntutan palsu

Dua penjawat awam direman bantu siasatan kes perakuan tuntutan palsu

DUA penjawat awam dibawa ke mahkamah mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan membabitkan kes memperakukan tuntutan palsu di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan reman Pembantu Tadbir Kanan dan Penolong Pegawai Tadbir di sebuah jabatan di negeri ini bagi membantu siasatan membabitkan kes memperakukan tuntutan palsu.

Majistret Mohd Amiruldin Roslan membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman lima hari sehingga 14 Februari ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Menurut sumber, lelaki berusia 43 dan 37 tahun itu direman bagi membantu siasatan membabitkan kes memperakukan tuntutan palsu bagi kerja membekal dan menghantar diesel ke jabatan itu berjumlah RM114,000 pada tahun 2023 dan 2024.

“Terdapat dua syarikat kontraktor dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja membekal dan menghantar bahan bakar diesel di jabatan itu.

“Bagi tahun 2023, pihak terlibat mengemukakan tuntutan palsu membabitkan sebanyak 14,000 liter diesel berjumlah lebih RM50,000 manakala pada 2024, tuntutan membabitkan 16,000 liter berjumlah lebih RM60,000,” katanya.

Sumber berkata, hasil siasatan mendapati dua penjawat awam terbabit dipercayai telah menggunakan syarikat terlibat bagi tujuan tuntutan namun pembekalan itu masih belum disempurnakan.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit juga dipercayai terlibat dalam memperakukan penerimaan pada pesanan kerajaan bagi pembekalan tersebut untuk tujuan pembayaran.

“Kedua lelaki itu ditahan ketika hadir beri keterangan di pejabat SPRM negeri pada pukul 5 petang semalam dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN