KANGAR: Tindakan dua warga Thailand cuba menyeludup masuk enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini gagal selepas mereka ditahan menerusi pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuaratin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, pada 6 Februari lalu.
Dalam operasi sekitar pukul 8.20 malam itu, pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Padang Besar telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda Odyssey bernombor pendaftaran Thailand yang dipercayai membawa PATI terlibat.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki bersama penumpang warga Thailand yang masing-masing berumur 35 dan 28 tahun.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat dua lelaki bersama wanita warga China masing-masing berumur 29, 30 dan 38 tahun serta tiga lelaki warga Indonesia berumur 33, 36 dan 45 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kastam Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Ismail berkata, semakan lanjut juga menunjukkan ketiga-tiga warga China itu tidak mempunyai passport atau sebarang dokumen pengenalan diri yang sah bagi memasuki negara ini.
Katanya, ketiga-tiga warga Indonesia yang ditahan pula didapati memiliki passport namun tiada sebarang rekod atau cop kemasukan secara sah.
“Siasatan awal juga mendapati kedua lelaki warga Thailand itu bekerja sebagai pemandu teksi dan cuba untuk menyeludup semua PATI berkenaan,” katanya.
Ujar Ismail, modus operandi digunakan suspek juga adalah dengan mengangkut migran tanpa dokumen perjalanan yang sah dan menempatkan mereka di tempat duduk belakang kenderaan seolah-olah seperti penumpang yang sah.
Katanya, semua PATI ditahan itu juga dipercayai bekerja di negara jiran sebelum diseludup masuk ke Malaysia.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang & Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) serta boleh dihukum Seksyen 6(3) akta sama,” katanya.-UTUSAN










