KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku peletakan jawatan dalam kalangan ketua bahagian.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pihaknya sudah mempunyai pelan tersusun bagi memastikan kelangsungan pentadbiran parti di semua peringkat tidak terjejas sekiranya berlaku kekosongan jawatan.
“Sekiranya ada mana-mana ketua bahagian meletakkan jawatan, timbalannya akan terus memangku dan menggantikan jawatan berkenaan.
“Kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan struktur parti di Kelantan berada dalam keadaan stabil serta terkawal,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di sini semalam.
Kamaruddin memberitahu, setakat ini tiada mana-mana bahagian di negeri ini mengumumkan pembubaran sebagaimana yang berlaku di beberapa negeri lain.
Katanya, beliau berharap situasi itu kekal dan semua peringkat kepimpinan terus memberi komitmen kepada parti.
Mengulas dakwaan terdapat pimpinan negeri yang menyokong bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, beliau berkata perkara itu sudah berada dalam pengetahuan peringkat Pusat dan terserah kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan lanjut.
Katanya, sokongan berkenaan hanya membabitkan kelompok kecil dan tidak menjejaskan kekuatan keseluruhan parti di Kelantan..-UTUSAN










