MACHANG: Bapa dipenjara, ibu membawa diri dan perkahwinan tidak didaftarkan dikenal pasti antara punca utama ribuan kanak-kanak tercicir daripada sistem dokumentasi negara setiap tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil penelitian profil kes daftar lewat kelahiran yang dikendalikan kementerian bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati faktor kekeluargaan menjadi penyumbang terbesar kepada masalah itu.
Menurutnya, kegagalan mendaftarkan kelahiran sejak awal memberi kesan besar terhadap status dokumentasi anak dalam jangka panjang.
“Antara kes yang kita temui, kelahiran berlaku ketika bapa menjalani hukuman penjara. Ada juga ibu yang membawa diri dan tidak dapat dikesan, sekali gus menyukarkan urusan dokumentasi anak.
“Masih ada yang menyangka pendaftaran kelahiran dikenakan bayaran, sedangkan ia sebenarnya percuma,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan MyKad dan sijil kelahiran kepada sembilan sekeluarga menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) JPN di Kampung Simpol Belubang, di sini hari ini.
Saifuddin turut mendedahkan, perkahwinan tidak didaftarkan menyebabkan sebahagian ibu buntu dan tidak tahu saluran yang perlu dirujuk bagi menguruskan pendaftaran kelahiran anak.
Katanya, faktor itu menyumbang kepada sekitar 12,000 hingga 13,000 kes daftar lewat kelahiran setiap tahun di seluruh negara.
“Apabila kita buat pemprofilan kes, jelas masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya menunggu mereka hadir ke pejabat.
“Kita perlu turun padang, dampingi dan bantu secara proaktif supaya anak-anak ini tidak terus terpinggir daripada hak asas sebagai warganegara,” katanya.
Sejak 2022 hingga tahun ini, lebih 49,000 kes kelewatan pendaftaran sijil kelahiran direkodkan, manakala lebih 20,000 kes kelewatan pendaftaran MyKad turut dicatatkan.
Purata 1,000 kes daftar lewat kelahiran direkodkan setiap bulan merupakan satu angka yang menggambarkan masih ramai kanak-kanak berdepan risiko tercicir daripada sistem identiti rasmi negara.-UTUSAN










