JELI: Seramai 200 asnaf di sekitar jajahan ini menyifatkan bantuan bakul makanan sumbangan Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful Berhad sebagai meringankan beban mereka untuk menyambut Ramadan yang bakal tiba kurang seminggu lagi.
Rata-rata penerima yang ditemui meluahkan rasa syukur dan mengakui pendapatan tidak menentu sebagai penoreh getah susulan Monsun Timur Laut yang masih belum berakhir memberi kesan kepada mereka.
Seorang penerima, Mohd. Zaid Yusoff, 63, berkata, sumbangan itu membantu meringankan beban beliau dan keluarga untuk menyambut Ramadan.
“Dengan bantuan ini, dapatlah saya membuat sedikit persiapan untuk menjalani ibadah puasa bersama keluarga dengan lebih sempurna.
“Terima kasih kepada IAM dan Etiqa Takaful kerana memilih penduduk di Jeli untuk menerima sumbangan ini,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Kasih Ramadan 1447H/2026 anjuran Islamic Aid Malaysia dengan kerjasama Etiqa Takaful Berhad di Masjid Mukim Sungai Long, Batu Melintang, di sini hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.
Bagi Rosmaini Setopa, 49, pula, terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan merupakan rezeki terindah buat beliau dan keluarga menyambut Ramadan tahun ini.
Katanya, bantuan itu tiba tepat pada masanya selepas pendapatan keluarga terjejas susulan cuaca tidak menentu yang menyebabkan bilangan hari suaminya keluar menoreh berkurangan.
Sementara itu, Zafri berkata, seramai 1,020 penerima dalam kalangan asnaf dari Kelantan, Wilayah Persekutuan, Perak, Pahang dan Kedah menerima sumbangan menerusi Program Jelajah Kasih Ramadan.
Katanya, bantuan tersebut merangkumi beras, gula, sardin, tepung, minyak masak, susu, makanan dalam tin serta keperluan asas lain.
“Kami percaya program ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka. Kami akan melakukan yang terbaik dalam menyalurkan bantuan tersebut,” katanya.-UTUSAN










