PETALING JAYA: Pendirian Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa bercanggah dengan nilai Islam khususnya dalam isu moral dan integriti kepimpinan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang dipecat dari Bersatu tampil menjelaskan, keputusannya menyokong kepimpinan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan menolak Muhyiddin bukan berpaksikan emosi tetapi merupakan tuntutan agama serta amanah yang dipikulnya.
Beliau berkata, sokongannya terhadap Hamzah adalah berpaksikan dasar Islam iaitu ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ dan hadis sahih Nabi Muhammad SAW.
Katanya lagi, ulama menegaskan bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah bersyarat atas ketaatannya kepada Allah dan Rasul serta pendiriannya dalam hal-hal membabitkan syariah.
“Sebagai pimpinan tertinggi parti, saya telah menunaikan tanggungjawab menasihati dan menegur Tan Sri Muhyiddin secara tertutup dalam banyak pertemuan peribadi selama tiga tahun. Namun, beliau tetap berpegang kepada pendirian yang bercanggah dengan nilai Islam, khususnya dalam isu moral dan integriti kepimpinan.
“Beliau tidak menunjukkan keprihatinan terhadap perlakuan yang mencemar maruah parti, termasuk isu salah laku yang amat bertentangan dengan prinsip Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bekas Ketua Armada Bersatu itu berkata, apa yang mengecewakannya adalah Muhyiddin seolah-olah tidak peduli terhadap sensitiviti pengundi Melayu Islam yang jelas menolak pemimpin berakhlak buruk.
“Keengganan beliau menegakkan prinsip ini telah melemahkan kekuatan dan persiapan Perikatan Nasional, khususnya jentera Pas yang amat menitikberatkan nilai agama dalam perjuangan politik.
“Dari segi kepimpinan, Tan Sri Muhyiddin juga bersikap lepas tangan. Banyak urusan parti digerakkan oleh Datuk Seri Hamzah, tetapi segala nama dan pujian mahu disandarkan ke atas dirinya,” dakwanya.
Dakwa beliau, apa yang terjadi dalam Bersatu kini adalah ramai pemimpin yang bangkit menentang Muhyiddin adalah pemimpin-pemimpin yang dahulunya setia dan mempertahankannya sejak era pentadbiran UMNO.
Namun, dakwanya, kesetiaan ada batasnya dan ketaatan kepada pemimpin tidak mutlak jika pemimpin itu menyimpang daripada jalan yang benar.
“Maka dalam keadaan ini, saya berpandangan tegas bahawa mempertahankan Tan Sri Muhyiddin atas nama parti atau perlembagaan semata-mata tidak lagi wajib, bahkan boleh menjerumuskan kita kepada dosa kerana mendiamkan kemungkaran,” dakwanya.
Dalam hantaran itu, Wan Ahmad Fahysal turut memohon maaf kepada Muhyiddin dan semua ahli Bersatu atas tindakannya menegur kepimpinan parti, namun tindakan mempertahankan Presiden itu bukanlah sifat parti yang beramanah dan bermaruah.
“Segala yang dibina atas dasar perjuangan Islam dan integriti kini dikorbankan demi kerakusan kuasa dan keinginan untuk mempertahankan individu yang telah hilang arah moral. Saya menolak hal ini dengan penuh tanggungjawab kepada agama, bangsa, dan tanah air.
“Alhamdulillah saya tidak menyesal dan sama sekali kecewa menerima nasib dan keputusan dipecat sebegini,” katanya. – UTUSAN










