AS tuduh China sorok ujian nuklear

AS tuduh China sorok ujian nuklear

GAMBAR fail menunjukkan peluru berpandu balistik dari kapal selam nuklear generasi pertama JL-1 dipamerkan semasa perarakan tentera memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan ke atas Jepun di Dataran Tiananmen, Beijing.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Amerika Syarikat (AS) menuduh Beijing menjalankan ujian nuklear secara rahsia pada 2020, ketika ia menggesa perjanjian kawalan senjata baharu yang lebih menyeluruh melibatkan China dan Russia.

Tuduhan itu dibangkitkan pada persidangan pelucutan senjata global, sekali gus menonjolkan ketegangan antara Washington dan Beijing dalam isu kawalan senjata nuklear, sehari selepas perjanjian yang mengehadkan penggunaan peluru berpandu serta kepala peledak AS dan Russia tamat tempoh.

“Saya boleh mendedahkan kerajaan AS mengetahui China menjalankan ujian bahan letupan nuklear, termasuk persediaan untuk ujian dengan hasil letupan mencecah ratusan tan,” kata Timbalan Setiausaha Negara AS bagi Kawalan Senjata dan Keselamatan Antarabangan, Thomas DiNanno, pada Persidangan Pelucutan Senjata di Geneva.

Beliau berkata, tentera China berusaha menyembunyikan ujian tersebut dengan mengaburkan letupan nuklear kerana menyedari tindakan itu melanggar komitmen.

China menggunakan kaedah ‘penyahgandingan’ untuk mengurangkan keberkesanan pemantauan seismik, bagi menyembunyikan aktiviti mereka daripada dunia, katanya.

DiNanno mendakwa, China menjalankan satu ujian penghasilan hasil letupan pada 22 Jun 2020.

Oktober lalu, Presiden Donald Trump mengarahkan tentera AS untuk segera meneruskan proses ujian senjata nuklear, dengan alasan negara lain turut melakukannya, walaupun tidak memberikan butiran atau menamakan negara terbabit.

Duta China mengenai pelucutan senjata, Shen Jian, tidak secara langsung menangani tuduhan DiNanno, tetapi menegaskan Beijing sentiasa bertindak berhati-hati dan bertanggungjawab dalam isu nuklear.

“China menyedari AS dalam kenyataannya terus membesarkan apa yang didakwa sebagai ancaman nuklear China. China tegas menolak naratif palsu itu.

“AS adalah punca utama yang mencetuskan ketegangan dalam perlumbaan senjata,” katanya.

China, seperti AS, menandatangani tetapi belum meratifikasi Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT), yang melarang ujian letupan nuklear.

Russia pula menandatangani dan meratifikasinya, tetapi menarik balik pengesahan itu pada 2023.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN