WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dan kerajaan Indonesia memuktamadkan perjanjian untuk menurunkan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas negara Asia Tenggara itu kepada 19 peratus berbanding 32 peratus sebelum ini.
Menurut Rumah Putih, di bawah perjanjian tersebut, Indonesia bersetuju mengurangkan halangan perdagangan ke atas lebih 99 peratus import AS serta memudahkan pembelian barangan Amerika bernilai lebih AS$30 bilion (RM117 bilion).
Washington turut memberikan pengecualian tarif ke atas beberapa produk Indonesia, termasuk pakaian dan tekstil tertentu yang dihasilkan menggunakan kapas serta bahan tiruan dari AS.
Wakil perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, perjanjian itu akan menghapuskan ‘halangan perdagangan’, selain memastikan kepentingan rakyat Amerika terus dipelihara.
Perjanjian itu dicapai semasa lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Washington untuk menghadiri mesyuarat pertama Lembaga Keamanan yang diketuai Trump bagi membincangkan pembinaan semula Gaza.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, perjanjian yang dimuktamadkan itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan akan menarik pelaburan yang lebih besar di Indonesia.
Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada permintaan Indonesia mengenai syarat tarif diterima oleh AS.
“Visi perjanjian ini adalah kemakmuran ekonomi bersama, rantaian bekalan yang kukuh, dan penghormatan terhadap kedaulatan setiap negara,” katanya kepada pemberita di Washington.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Indonesia berjaya mendapatkan pengecualian tarif ke atas lebih 1,700 barangan, termasuk kopi, rempah ratus, coklat, getah asli, dan yang paling utama, produk eksport utamanya, minyak sawit.
Ia sebagai pertukaran untuk Indonesia membuka pasarannya kepada produk Amerika, termasuk menerima piawaian AS bagi keselamatan kenderaan, pelepasan gas, peralatan perubatan dan farmaseutikal.
Indonesia akan menghapuskan halangan perdagangan ke atas import AS termasuk produk pertanian, kesihatan, makanan laut, teknologi dan barangan berkaitan kereta.
Negara itu juga komited untuk membeli barangan AS bernilai berbilion dolar, termasuk kapas, kacang soya, daging lembu, pesawat Boeing dan tenaga.
Indonesia akan memudahkan firma AS membangunkan infrastruktur nadir bumi di negara Asia Tenggara itu, yang akan membantu Washington memperluas bekalan mineral kritikalnya.- BBC










