RAUB: Tragedi kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Dong di sini awal pagi tadi turut mengundang rasa pilu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal.
Beliau yang bergegas ke lokasi kejadian selepas Subuh, melahirkan rasa terkejut kerana baharu bertemu Allahyarham Mohd. Alawi Mohammad pada hari pertama Ramadan.
Malah, Fadzli turut berkongsi gambar pertemuan tersebut di laman Facebooknya sebagai kenangan terakhir bersama mangsa.
“Saya amat terkesan kerana baru bertemu dengan Allahyarham. Kehilangan sekeluarga sekali gus adalah ujian yang amat berat. Semoga keluarga yang masih ada dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT,” katanya. – UTUSAN










