CARACAS: Pihak berkuasa Venezuela memberikan pengampunan kepada 379 tahanan politik, selepas undang-undang pengampunan baharu digubal susulan penggulingan bekas pemimpin, Nicholas Maduro.
Perhimpunan Kebangsaan Venezuela sebulat suara meluluskan undang-undang tersebut pada Khamis, memberi harapan ratusan tahanan politik yang dipenjarakan mungkin dibebas dalam masa terdekat.
Timbalan Dewan Negara, Jorge Arreaza berkata, sejumlah 379 orang perlu dibebaskan dan diberikan pengampunan antara malam Jumaat dan Sabtu.
“Permohonan dikemukakan oleh Pejabat Pendakwa Raya kepada mahkamah berkenaan untuk memberikan langkah pengampunan,” katanya dalam temubual di televisyen, kelmarin.
Ramai ahli keluarga tahanan di seluruh Venezuela menunggu di luar penjara selama beberapa minggu untuk menantikan keputusan pembebasan tersebut.
Ratusan diberikan pembebasan bersyarat oleh kerajaan presiden sementara, Delcy Rodriguez, sejak serbuan AS yang membawa kepada penangkapan Maduro, namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Foro Penal berkata, kira-kira 650 orang masih kekal ditahan.
Pengarah Foro Penal, Alfredo Romero pada Jumaat berkata, pengampunan bukan diberikan secara automatik, tetapi memerlukan proses di mahkamah, yang dilihat sebagai satu cabang penindasan Maduro.
Dianggarkan ribuan rakyat Venezuela dipenjarakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini atas dakwaan untuk menggulingkan pemerintahan Maduro, sama ada berdasarkan plot yang sebenar atau hanya imaginasi kerajaan semasa.- AFP










