TOKYO: Seramai tujuh individu berusia antara 80 hingga 96 tahun dikejarkan ke hospital selepas tercekik mochi di Tokyo dalam tempoh tiga hari pertama tahun baharu.
Seorang daripada mereka, wanita berusia lingkungan 80-an disahkan meninggal dunia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 4 Januari, wanita tersebut tercekik daifuku, sejenis mochi berinti pes kacang manis di rumahnya pada awal pagi 1 Januari.
Mangsa dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia.
Di daerah Shinagawa dan kawasan lain, lima lelaki dan wanita dilaporkan tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal selepas tercekik mochi.
Antara tahun 2020 hingga 2024 di Tokyo, seramai 338 orang dikejarkan ke hospital akibat tercekik mochi, dengan 33 daripadanya meninggal dunia.
Kira-kira 40 peratus kes berlaku pada bulan Januari, manakala sekitar 90 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital berusia 65 tahun ke atas.
Seorang pegawai Jabatan Bomba menasihatkan orang ramai supaya memotong mochi kepada kepingan kecil sebelum dimakan serta mengunyahnya dengan teliti sebelum menelannya.-AGENSI










