JERANTUT: Seorang warga emas dari Kampung Bukit Kemput, Pulau Tawar di sini yang hampir 12 tahun bergantung kepada aktiviti menyelongkar tong sampah sebagai sumber rezeki, kini berdepan kehidupan sukar apabila menderita penyakit lelah kronik selain masalah kesakitan dada.
Ismail Ahmad, 60, berkata, penyakit itu dipercayai berpunca daripada kekotoran dan pencemaran sampah yang dihidu setiap kali mencari bahan buangan untuk dijual.
“Saya sudah lama menghidap kencing manis dan jantung sejak usia muda, hanya bertahan dengan ubat dari klinik swasta serta hospital.
“Namun penyakit lelah ini semakin menjadi-jadi sehingga kadangkala mengganggu pernafasan menyebabkan semput dan mata berair. Namun saya tetap terpaksa menyelongkar tong sampah demi mencari bahan buangan yang boleh dijual,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Ismail berkata, sebelum ini dia mencari barang buangan di tong sampah yang boleh dikomersialkan seperti perkakas elektrik, perabot kecil, dapur dan pakaian yang sudah lusuh.
“Tetapi setelah keadaan kesihatan kerap terganggu, saya cuma kadangkala keluar menyelongkar mencari bahan antik dan hiasan yang diperbuat daripada kayu dan besi untuk dijual di bandar,” katanya.
Berkongsi kehidupannya, bapa kepada dua anak itu berkata, selepas berpisah dengan isterinya ketika menetap di Butterworth, Pulau Pinang 23 tahun lalu, kehidupannya bertukar sebagai seorang gelandangan.
Selepas berpisah, katanya, kehidupannya terumbang-ambing membawa diri di merata tempat di Pulau Pinang sambil mencari pekerjaan dan terakhir berkelana ke Kuantan, lapan tahun lalu.
“Di Kuantan saya cuba mencari rezeki dengan menjual barang lama termasuk pakaian terpakai yang diperoleh dari tong sampah namun kurang mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.
Katanya, dia mengambil keputusan ke Jerantut dan tinggal di sebuah pondok usang di Kampung Bukit Kemput sambil bekerja sambilan menjaga kebun sawit.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Ismail menerusi nombor 0103106225 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156141707335 (Ismail).-MINGGUAN










