ARAU: Setiap parti Melayu Islam di negara ini khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Perikatan Nasional (PN) perlu bersatu dengan memberikan penumpuan kepada perpaduan dan bukan mendorong kepada perpecahan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, suasana politik ketika ini memerlukan setiap parti Islam di negara ini untuk bersatu dan bersama ke arah penyatuan ummah.
Katanya, kemelut politik di Perlis telah diselesaikan dengan baik termasuk dalam urusan pemilihan Menteri Besar yang diserahkan sepenuhnya mengikut perkenan Raja Perlis.
Ujar beliau, Pas menyokong sesiapa sahaja yang dipilih baginda.
“Memang kita dah mengaku depan Tuanku Raja Perlis siapa nama-nama calon Menteri Besar dikemukakan dan dipilih Tuanku, kita akan sokong.
“Jadi Tuanku telah pilih Abu Bakar Hamzah, maka kita pun minta bolehlah bekerjasama dengan dia,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Sena, di sini, hari ini.
Hashim berkata, masalah di Perlis diyakini dapat diselesaikan menerusi perbincangan yang dilakukan di peringkat pusat selepas ini.
“Dalam beberapa minggu lalu, saya secara peribadi mendapati Menteri Besar, Abu Bakar dan kerajaan negeri juga cuba membantu bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang berlaku di negeri ini.
“Moga-moga berkat Ramadan nanti, suasana akan kembali cerah dan bersih,” katanya.-UTUSAN










