Unimap komited terjemahkan aspirasi RPN 2026–2035 - Utusan Malaysia

Unimap komited terjemahkan aspirasi RPN 2026–2035

ZALIMAN SAULI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara yang inklusif, berdaya saing dan berteraskan keadilan sosial bagi dekad akan datang.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, RPN pelan strategik menyeluruh bukan sahaja memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik sebaliknya turut menitikberatkan kebajikan pelajar, kebolehcapaian pendidikan serta kesiapsiagaan graduan menghadapi cabaran masa depan.

Katanya, pelan tersebut jelas mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada akses pendidikan tinggi.

“Ia merangkumi jaminan tempat kepada pelajar cemerlang, pendidikan percuma untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) dan peningkatan kuota bantuan pendidikan serta peluasan peluang kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Inisiatif seperti jaminan tempat di IPTA kepada pelajar Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, penambahan 3,000 tempat baharu bermula 2026 serta peluasan kursus strategik merangkumi bidang data Sains, kecerdasan buatan (AI), kewangan, komunikasi, bahasa dan pengajian media adalah langkah progresif sejajar dengan keperluan industri dan aspirasi negara,” katanya di sini semalam.

Zaliman berkata, sebagai universiti teknikal, Unimap komited menterjemahkan aspirasi RPN 2026–2035 melalui pengukuhan dasar dan pelaksanaan inisiatif di peringkat universiti.

“Ia terutama dalam memperkasa kebajikan pelajar, meningkatkan kualiti pengalaman kampus serta melahirkan graduan yang holistik, beretika dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Selain itu, Unimap juga akan menyokong penuh usaha kerajaan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pendigitalan, penerapan AI secara menyeluruh serta penstrukturan semula Politeknik dan Kolej Komuniti.Ia termasuk inisiatif menaik taraf Politeknik Premier bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Zaliman berkata, langkah meletakkan tingkatan enam dan matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai 2027 sebagai satu reformasi penting bagi memastikan kesinambungan kurikulum dan transisi yang lebih lancar daripada peringkat pra-universiti ke Ijazah Sarjana Muda.

“Unimap akan terus menyokong dan melaksanakan aspirasi RPN itu melalui pengukuhan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pemerkasaan penyelidikan dan inovasi serta kolaborasi strategik bersama industri dan pemegang taruh.

“Malah saya yakin pelaksanaan RPN 2026–2035 akan menjadi pemangkin utama dalam melahirkan generasi graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah berdaya saing, berintegriti dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN