UMNO bantu rakyat di tiga kawasan tanpa ADUN di Perlis - Utusan Malaysia

UMNO bantu rakyat di tiga kawasan tanpa ADUN di Perlis

ROZABIL Abd. Rahman mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Perlis di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO negeri akan memberi lebih tumpuan membantu rakyat di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dikosongkan ekoran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu tergugur keahlian Pas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, pihaknya akan menjadi wakil kepada masyarakat di tiga kawasan tersebut iaitu Chuping, Guar Sanji dan Bintong seterusnya membantu sebaik mungkin.

Katanya, langkah tersebut bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan tidak merasa terabai tanpa wakil rakyat di situ yang sekurang-kurang sehingga tempoh dua tahun sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kita akan turun membantu rakyat di ketiga-tiga kawasan ini. Kita tidak mahu masyarakat di ketiga-tiga kawasan tersebut merasakan diri mereka kosong tanpa ada orang yang boleh melihat kepada segala permasalahan mereka.

“Jika kita lihat sebelum ini pun, UMNO tidak pernah berhenti memainkan peranan sebagai ‘wakil rakyat’ membantu rakyat di semua kawasan DUN di Perlis. Walaupun kita bukan ADUN atau kerajaan negeri namun kita banyak melaksanakan program atau bantuan seperti membina, membaiki rumah, bantuan kepada golongan B40 serta banyak lagi demi kesejahteraan rakyat di Perlis.

“Itu program dan bantuan yang sentiasa kita lakukan di setiap bahagian di negeri ini yang tidak pernah ditinggalkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Baru-baru ini, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di tiga kerusi DUN Perlis.

Bagaimanapun, tiga kerusi berkenaan iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji tetap dikosongkan selepas tiga ADUN tersebut terhenti keahlian Pas.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, pengosongan kerusi berkenaan dimulakan oleh mereka sendiri yang mana sebelum ini Speaker DUN Perlis mengisytiharkan kekosongan berkenaan dan meminta untuk diadakan PRK sebelum menarik balik keputusan.

“Selalunya, kita tidak ada wakil rakyat jika wakil rakyat di sesuatu kawasan itu meninggal dunia tetapi dalam isu di Perlis ini, wakil rakyat ada tetapi diminta kosongkan kerusi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN