UK, Perancis sedia kerah tentera ke Ukraine 

UK, Perancis sedia kerah tentera ke Ukraine 

PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menandatangani deklarasi tiga hala kelmarin.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Britain dan Perancis mengumumkan kesediaan untuk mengerahkan tentera ke Ukraine selepas perjanjian damai dicapai, satu komitmen baharu yang dibincangkan selama berbulan-bulan, meskipun Russia dijangka menentang langkah itu.

Pengumuman itu dibuat selepas satu sidang kemuncak di Paris yang dipengerusia Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan dihadiri lebih 12 pemimpin negara daripada ‘gabungan’ yang menyokong Ukraine.

Antara yang hadir termasuk wakil Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan menantu Donald Trump, Jared Kushner, yang menyatakan Presiden AS berkenaan menyokong sepenuhnya protokol keselamatan tersebut.

Macron, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menandatangani deklarasi tiga hala kelmarin, selepas beberapa jam rundingan.

Mereka berkata, langkah itu akan membukan jalan kepada penempatan tentera Perancis dan Britain di Ukraine.

“Selepas gencatan senjata, UK dan Perancis akan menubuhkan hab ketenteraan di seluruh Ukraine,” kata Starmer.

Bagaimanapun, pasukan darat yang dirancang itu dijangka tidak akan terlibat secara langsung dengan pasukan Russia, sekiranya Moscow melancarkan semula pencerobohan ke atas Ukraine.

Macron menjelaskan, matlamat pasukan itu adalah untuk memberi jaminan selepas gencatan senjata dan akan ditempatkan jauh di belakang garisan hubungan.

Tiada penjelasan lanjut diberikan mengenai saiz atau skop pasukan itu.

Beliau juga berkata, pakatan itu juga merangka pelan untuk mengambil komitmen memantau gencatan senjata di bawah kepimpinan AS serta sokongan jangka panjang kepada pasukan Ukraine yang kini dan akan terus berada di barisan hadapan pertahanan.

Menjawab soalan sama ada AS akan membantu tentera Eropah jika diserang di Ukraine, Witkoff berkata jaminan keselamatan itu sangat kuat dan bertujuan untuk menghalang serangan. 

Jika serangan berlaku, tentera tersebut akan mempertahankan diri, dan mereka mampu melakukan kedua-duanya.- THE GUARDIAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN