UK ancam sekat X jika gagal tangani isu imej AI

UK ancam sekat X jika gagal tangani isu imej AI

GROK diintegrasikan ke dalam X, membolehkan pengguna mengubah imej wanita dan kanak-kanak berpakaian kepada imej separuh bogel.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mengarahkan media sosial X milik Elon Musk menangani gelombang imej AI yang tidak senonoh, atau berdepan larangan de facto, selepas pakar menegaskan platform itu tidak lagi menjadi ‘ruang selamat’ untuk golongan wanita.

Pengawal media, Ofcom, mengesahkan akan mempercepat siasatan terhadap X susulan peningkatan reaksi negatif ke atas laman itu, yang menyiarkan banyak imej separuh bogel wanita dan kanak-kanak.

Kelmarin, X mengumumkan sekatan penggunaan chatbot AI, Grok, untuk mencipta imej, sebagai tindak balas kepada kemarahan global.

Dalam hantaran di platform itu, X menyatakan kemampuan untuk menjana dan menyunting imej kini terhad kepada pelanggan berbayar.

Katanya, mereka yang membayar perlu memberikan maklumat peribadi, sekali gus membolehkan identitinya dikesan jika fungsi tersebut disalahgunakan.

Bagaimanapun, langkah itu gagal meredakan kemarahan dan semakin mencetuskan reaksi negatif daripada mangsa, ahli politik dan pakar, yang menyifatkan tindakan tersebut tidak memadai.

Downing Street mengkritik langkah itu sebagai ‘menghina’ mangsa keganasan seksual, manakala Musk pula mendakwa kerajaan UK sengaja mencari alasan untuk menyekat kebebasan.

Setiausaha Teknologi UK, Liz Kendall berkata, manipulasi seksual imej wanita dan kanak-kanak adalah perbuatan yang ‘menjijikkan’.

Beliau berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian memberi kuasa untuk menyekat perkhidmatan daripada diakses di UK jika ia enggan mematuhi undang-undang negara.

Grok, yang diintegrasikan ke dalam X, membolehkan pengguna mengubah imej wanita dan kanak-kanak berpakaian kepada imej separa bogel dengan gaya berunsur seksual.

Menurut syarikat data Similarweb, X mempunyai kira-kira 300 juta pengguna bulanan, manakala anggaran daripada firma Amerika Syarikat (AS), Appfigures, meletakkan bilangan pelanggan berbayar X antara 2.2 juta hingga 2.6 juta.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN