WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran kepada Iraq agar tidak melantik semula Nouri al-Maliki sebagai Perdana Menteri, sambil menegaskan AS akan menghentikan segala bentuk bantuan kepada negara Asia Barat itu jika pelantikan tersebut diteruskan.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan kemungkinan pelantikan semula Maliki sebagai satu pilihan yang sangat buruk buat Iraq.
“Kali terakhir Maliki memegang kuasa, negara tersebut terjun ke kancah kemiskinan dan huru-hara yang melampau. Perkara ini tidak seharusnya dibenarkan berulang.
“Disebabkan dasar dan ideologi beliau yang tidak munasabah, jika dipilih semula, AS tidak akan lagi membantu Iraq,” tegas Trump. Beliau turut menambah bahawa tanpa sokongan Washington, Iraq tidak berpeluang untuk mencapai kejayaan.
Kenyataan Trump itu dilihat sebagai langkah paling drastik setakat ini dalam kempen beliau untuk menyekat pengaruh kumpulan yang dikaitkan dengan Iran di Iraq. Baghdad sejak sekian lama terpaksa mengimbangi hubungan diplomatik antara dua sekutu utamanya, Washington dan Teheran.
Setakat ini, pihak Reuters masih belum dapat menghubungi Maliki untuk mendapatkan sebarang ulasan lanjut.
Amaran itu hadir hanya beberapa hari selepas pakatan blok politik Syiah yang memegang majoriti di parlimen Iraq, memilih Maliki sebagai calon jawatan tersebut.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama dua penggal.
Sebagai sebahagian daripada kempen tekanan Trump, Washington dilaporkan turut mengancam ahli politik kanan Iraq dengan sekatan AS jika kumpulan bersenjata tajaan Iran disertakan dalam pembentukan kerajaan baharu akan datang.
Maliki merupakan tokoh kanan dalam Parti Dawa Islam Syiah. Tempoh pentadbiran beliau dari tahun 2006 hingga 2014 sering dikaitkan dengan keganasan mazhab, perebutan kuasa dengan pesaing Sunni dan Kurdish, serta ketegangan yang kian memuncak dengan AS.
Walaupun beliau meletak jawatan selepas kumpulan militan Daesh (ISIS) menawan sebahagian besar wilayah Iraq pada 2014, Maliki kekal sebagai pemain politik berpengaruh melalui pakatan State of Law dan mengekalkan hubungan erat dengan puak yang disokong Iran. -AGENSI










