WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengugut untuk menamatkan semua sokongan Washington kepada Iraq sekiranya Nouri al-Maliki, bekas perdana menteri yang mempunyai hubungan dengan Iran, kembali memegang jawatan.
Trump berkata, pencalonan Maliki sebagai perdana menteri oleh blok Syiah terbesar merupakan ‘pilihan yang sangat buruk’ untuk Iraq.
“Ketika Maliki memerintah, negara itu jatuh ke dalam kemiskinan dan huru-hara. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku lagi. Disebabkan polisi dan ideologinya yang gila, jika dipilih, AS tidak akan lagi membantu Iraq.
“Jika kami tidak berada di sana membantu, Iraq tiada peluang untuk mencapai kejayaan, kemakmuran atau kebebasan. Buat Iraq hebat semula,” katanya dalam hantaran di platform Truth Social.
Maliki melepaskan jawatan pada 2014 selepas tekanan daripada AS, yang menyalahkan agenda Syiah beliau yang berpecah belah kerana membolehkan kebangkitan kumpulan ekstremis IS.
AS mempunyai pengaruh penting ke atas Iraq kerana sebahagian besar hasil eksport minyak negara itu disimpan di Bank Rizab Persekutuan di New York, dalam perjanjian yang dicapai selepas pencerobohan Washington pada 2003 sehingga menggulingkan Saddam Hussein.
Jualan minyak menyumbang sekitar 90 peratus daripada hasil kerajaan Iraq.
Pengumuman Trump dibuat beberapa hari selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyuarakan kebimbangan serupa melalui panggilan telefon dengan Perdana Menteri semasa, Mohammed Shia al-Sudani.
Washington juga menghantar surat kepada pemimpin politik Iraq menyatakan pandangan negatifnya terhadap pencalonan Maliki.- AFP










