WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan kenaikan tarif ke atas barangan import dari Korea Selatan kepada 25 peratus selepas menuduh Seoul gagal memenuhi komitmen dalam perjanjian perdagangan yang dicapai tahun lalu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Trump menjelaskan beliau akan meningkatkan levi tersebut daripada kadar asal 15 peratus yang melibatkan pelbagai rangkaian produk termasuk automotif, kayu balak, farmaseutikal dan semua tarif timbal balas yang lain.
Trump menegaskan penggubal undang-undang Korea Selatan bersikap lembab dalam meluluskan perjanjian tersebut, sedangkan pihak AS bertindak pantas mengurangkan tarif selaras dengan transaksi yang dipersetujui sebelum ini.
Sebagai tindak balas, Korea Selatan menyatakan mereka masih belum menerima sebarang notis rasmi mengenai keputusan kenaikan tarif itu dan kini menuntut rundingan segera dengan Washington bagi membincangkan isu berkenaan.
Menteri Perindustrian Korea Selatan, Kim Jung-kwan, yang kini berada di Kanada, dilaporkan akan bergegas ke Washington secepat mungkin untuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick.
Pengumuman mengejut itu turut memberi kesan langsung kepada pasaran saham pada pagi Selasa apabila nilai saham pengeksport utama Korea Selatan merosot, dengan syarikat gergasi automotif Hyundai mencatatkan penurunan sekitar 2.5 peratus selain kejatuhan dalam stok berkaitan farmaseutikal dan balak.
Seoul dan Washington sebelum ini mencapai kata sepakat pada Oktober lalu yang merangkumi ikrar Korea Selatan untuk melabur sebanyak $350 bilion (RM1.38 trilion) di AS, di mana sebahagian daripada dana tersebut diperuntukkan bagi sektor pembinaan kapal.
Susulan itu, kedua-dua negara bersetuju AS akan mengurangkan tarif ke atas beberapa produk sebaik sahaja Korea Selatan memulakan proses kelulusan rasmi.
Perjanjian tersebut diserahkan kepada Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan pada 26 November dan kini sedang dalam proses semakan, dengan jangkaan kelulusan pada Februari.
Langkah terbaharu ini memperlihatkan kecenderungan Trump yang sering menggunakan tarif sebagai alat tekanan untuk melaksanakan dasar luar sepanjang penggal kedua beliau di Rumah Putih.
Sebelum ini, beliau turut mengancam Kanada dengan tarif 100 peratus sekiranya negara itu memeterai perjanjian perdagangan dengan China, selain pernah mengancam lapan buah negara termasuk United Kingdom berhubung isu pemilikan Greenland.
Meskipun tarif tersebut akhirnya dibayar oleh firma AS yang mengimport barangan, tindakan agresif ini terus menimbulkan ketegangan diplomatik antara AS dan sekutu antarabangsanya. -AGENSI










