COPENHAGEN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ‘dimalukan’ oleh Greenland apabila Perdana Menterinya, Jens-Frederik Nielsen dengan tegas menolak rancangan Washington untuk merampas pulau Artik itu.
Nielsen menegaskan, rakyatnya lebih memilih Denmark daripada AS sekiranya diminta membuat pilihan demikian.
Trump sebelum ini mendakwa, AS perlu ‘memiliki’ Greenland bagi tujuan pertahanan terhadap Russia dan China.
Rumah Putih juga mencadangkan membeli pulau tersebut, dan pada masa sama tidak menolak kemungkinan menggunakan kuasa ketenteraan sebagai pilihan lain untuk menguasai Greenland.
Kenyataan Nielsen dalam sidang media bersama Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, merupakan yang paling tegas dibuat oleh wakil wilayah itu sejak Trump memperbaharui rancangan untuk ‘memiliki’ Greenland.
“Kami kini menghadapi krisis geopolitik. Jika kami perlu memilih antara AS dan Denmark di sini sekarang, kami memilih Denmark, NATO dan Kesatuan Eropah (EU).
“Greenland tidak mahu diperintah oleh Amerika Syarikat. Greenland tidak mahu menjadi sebahagian daripada Amerika,” katanya, sambil menyatakan matlamat pulau itu adalah untuk mengadakan dialog aman dan kerjasama antarabangsa.
Ketika ditanya pendapatnya mengenai kenyataan Nielsen, Trump pada Selasa seolah-olah memberi bayangan akan mencetuskan ‘masalah besar’ kepada pulau tersebut.
“Itu masalah mereka, saya tidak bersetuju dengannya… Itu akan menjadi masalah besar untuknya,” kata Trump.- BBC










