Trump dakwa Iran mahu berunding selepas diugut campur tangan

Trump dakwa Iran mahu berunding selepas diugut campur tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa kepimpinan Iran menghubunginya untuk berunding selepas beliau berulang kali mengugut untuk campur tangan secara ketenteraan jika Teheran membunuh penunjuk perasaan.

Iran dilanda gelombang protes yang semakin meluas walaupun berdepan tindakan keras yang digambarkan kumpulan hak asasi manusia sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

Protes pada awalnya tercetus akibat kemarahan terhadap kenaikan kos sara hidup, demonstrasi itu kini berkembang menjadi cabaran serius terhadap sistem teokrasi yang mentadbir negara sejak Revolusi 1979.

Maklumat terus mengalir dari Iran meskipun internet disekat selama beberapa hari, dengan video ditapis keluar dari Tehran dan beberapa bandar lain menunjukkan demonstrasi besar-besaran sejak tiga malam lalu.

Ketika laporan mengenai angka korban yang semakin meningkat muncul, serta imej menunjukkan mayat bergelimpangan di luar sebuah bilik mayat, Trump berkata, Tehran menunjukkan kesediaan untuk berbincang.

“Pemimpin Iran menghubungi saya semalam,” kata Trump kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One, sambil menambah bahawa ‘satu pertemuan sedang diatur… Mereka mahu berunding’.

Trump bagaimanapun berkata, pihaknya mungkin perlu bertindak sebelum pertemuan itu berlangsung.

Pusat Hak Asasi Manusia Iran (CHRI) yang berpangkalan di AS berkata, mereka menerima ‘laporan saksi dan maklumat boleh dipercayai yang menunjukkan ratusan penunjuk perasaan dibunuh di seluruh Iran sepanjang sekatan internet ketika ini’.

“Pembantaian sedang berlaku,” katanya.

Hak Asasi Manusia Iran (IHR), yang berpangkalan di Norway, pula mengesahkan sekurang-kurangnya 192 penunjuk perasaan terbunuh, namun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

“Laporan yang belum disahkan menunjukkan sekurang-kurangnya beberapa ratus orang terbunuh, dan menurut beberapa sumber, lebih 2,000 mungkin telah dibunuh,” kata IHR.

IHR menganggarkan lebih 2,600 penunjuk perasaan ditahan.

Satu video yang tular pada Ahad menunjukkan puluhan mayat terkumpul di luar sebuah bilik mayat di selatan Tehran.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN