PHNOM PENH: Kemboja mendakwa tentera Thailand masih menduduki kawasan awam di negara itu, termasuk menutup sebahagiannya dengan dawai berduri dan kontena penghantaran.
Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn berkata, kira-kira 4,000 keluarga masih tidak dapat kembali ke rumah mereka di sempadan yang dipertikaikan kerana pencerobohan Thailand, walaupun perjanjian Disember lalu menghentikan pertempuran sengit selama berminggu-minggu di sempadan.
“Tentera Thailand masih menduduki wilayah di dalam Kemboja,” katanya dalam temu bual di Phnom Penh pada Selasa, sambil menyenaraikan sekurang-kurangnya empat lokasi sempadan sebagai tapak pencerobohan.
Beliau menegaskan, walaupun keadaan kini tenang, terdapat risiko berterusan dan berharap Thailand akan terus mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata itu.
Sebagai tindak balas, pihak tentera dan kerajaan Thailand merujuk kenyataan Kementerian Luar bertarikh 12 Januari, yang menafikan tuduhan Kemboja, serta menyifatkannya sebagai tidak berasas.
“Penempatan semasa tentera selepas gencatan senjata adalah pematuhan langsung terhadap langkah-langkah pengurangan ketegangan yang dipersetujui. Ini tidak boleh ditafsirkan sebagai pendudukan wilayah,” kata kementerian itu.
Kedua-dua negara jiran itu bertempur selama 20 hari pada Disember, susulan siri pertembungan pada Julai lalu yang berakhir selepas campur tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.- AGENSI










