JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menyambung semula usaha mencari dan menyelamat 80 mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh mengorbankan 10 nyawa di kawasan perumahan di wilayah Jawa Barat.
Kejadian pada Sabtu itu dicetuskan oleh hujan lebat yang bermula sehari sebelumnya, dan agensi cuaca memberi amaran hujan tersebut boleh berterusan selama seminggu di wilayah tersebut serta beberapa kawasan lain.
Penduduk, Dedi Kurniawan, 36, berkata ini adalah kejadian tanah runtuh besar pertama yang pernah disaksikannya di kampung Pasir Langu, yang terletak di kawasan berbukit kira-kira 100km tenggara ibu negara Indonesia, Jakarta.
“Kadang-kadang kami hanya mengalami banjir kecil dari sungai berhampiran, tetapi kali ini (tanah runtuh) datang dari arah hutan,” katanya kepada Reuters.
Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran kerana keadaan tanah yang tidak stabil dan hujan menghalang mereka daripada menggunakan jentera berat, lapor Kompas TV memetik pihak berkuasa.
Terdapat beberapa laporan banjir di Jawa Barat, termasuk Jakarta.
Banjir itu menyebabkan penduduk di kawasan yang terjejas teruk berpindah ke tempat yang lebih tinggi atau lokasi yang tidak terjejas.
Tanah runtuh itu berlaku dua bulan selepas banjir dan tanah runtuh akibat taufan di pulau Sumatera yang mengorbankan 1,200 orang, memusnahkan rumah serta memindahkan lebih sejuta penduduk.










