Tak sangka, abang ipar antara 3 maut dalam kemalangan tular

Tak sangka, abang ipar antara 3 maut dalam kemalangan tular

MOHD. Shahril (kiri) dan Mat Jusoh menunjukkan gambar arwah Nik Azmi ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Gua Musang, Gua Musang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki terkejut apabila video kemalangan tragis di KM 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Paloh yang tular hari ini sehingga meragut tiga nyawa itu turut melibatkan abang iparnya sendiri Nik Azmi Nik Othman, 47.

Mohd. Shahril Razali, 30, berkata, khabar duka itu diketahui selepas menerima panggilan daripada isteri arwah, Siti Safila Mat Jusoh, 40, yang memaklumkan kejadian pada pukul 5 petang.

Katanya, sebelum itu dia sempat menonton video berkenaan kira-kira pukul 1.30 tengah hari selepas ia tular menerusi aplikasi TikTok, Facebook dan WhatsApp.

“Saya menonton video kemalangan yang tular dan tidak menyangka abang ipar berada dalam kenderaan MPV berkenaan. Abang ipar yang mesra dengan panggil Pok Nik merupakan pesara tentera dan bekerja di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira setahun lalu.

“Dia pencen tahun lalu pada 2024 selepas berkhidmat 26 tahun. Kem 506, Askar Wataniah Pengkalan Chepa merupakan lokasi terakhir dia bertugas,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mentua arwah Nik Azmi, Mat Jusoh Muda, 76, berkata, dia terkejut selepas anak perempuan ketiga, Siti Safila menghubunginya dan mengatakan arwah sudah meninggal dunia dalam kemalangan.

Katanya, dia yang tinggal di Felda Chiku 3 datang ke Unit Forensik Hospital Gua Musang kira-kira pukul 7 malam tadi dan sehingga kini masih menunggu kehadiran Siti Safila.

“Siti Safila menghubungi saya dalam keadaan menangis dan mengatakan suaminya sudah meninggal dunia. Siti Safila bersama empat anak yang tinggal di Pangkalan Chepa dalam perjalanan ke sini.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah pada minggu lalu ketika dia pulang ke rumah di Felda Chiku 3. Arwah ketika itu tidak banyak bercakap seperti selalu dan tergesa-gesa ingin pulang,” katanya.

Utusan Online hari ini melaporkan, hasrat seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menghadiri kursus di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila maut bersama dua pekerjanya selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van di Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, Nik Razizi Nik Rahim, 55, yang merupakan CEO syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api gas bersama dua pekerjanya Nik Azmi Nik Othman, 47 dan Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33, maut di lokasi akibat kecederaan parah.

Bagaimanapun, pemandu MPV itu, Nik Mohd. Faizol Nik Abd. Aziz, 42, yang merupakan pembantu am atau pengisi minyak (refueller) bagi syarikat tersebut selamat apabila mengalami kecederaan pada bahagian kaki, peha dan kepala.

Sementara, pemandu van Toyota Hiace, Mohammad Ridhwan Mohd. Zawawi, 27, patah tangan dan kaki manakala penumpang kenderaan itu, Hasuzi Abdullah, 48, mengalami pendarahan dalam otak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN