JELI: Polis menggagalkan cubaan menyeludup ribuan anak pokok hiasan bernilai hampir RM1.4 juta dari Thailand selepas menahan dua lelaki di daerah ini kelmarin.
Rampasan dan tangkapan itu dilakukan oleh pasukan khas dari Balai Polis Jeli menerusi Ops Inter/Intra JKDNKA selepas menahan dua lelaki masing-masing berusia 17 dan 49 tahun menaiki sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai 7,900 pokok bunga jenis Bromeliad.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati lori yang membawa muatan anak pokok itu memiliki dokumen import sah dan disyaki diseludup dari Thailand.
“Kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN










