KANGAR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi calon utama bagi mengisi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu menjelang mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi gabungan tersebut esok.
Meskipun Pas sudah sah menamakan calon dalam kalangan pemimpinnya namun difahamkan wujud pula penolakan dari parti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang merupakan rakan komponen gabungan itu.
Gerakan dan MIPP dikatakan hanya bersetuju jika calon mengisi jawatan Pengerusi PN adalah dalam kalangan pemimpin Bersatu sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Hamzah.
Selepas difahamkan Muhyiddin tidak dijemput ke mesyuarat itu, ia menguatkan andaian bahawa Hamzah yang juga Ketua Pembangkang akan mengetuai gabungan itu walaupun beliau bukan dalam kalangan presiden parti.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, apabila Pas tidak menamakan Tan Sri Abdul Hadi Awang, ia menjadikan Hamzah juga mempunyai kelayakan untuk mengisi jawatan itu.
Katanya, Hamzah dilihat mendapat sokongan rakan parti komponen dan beliau juga seorang pemimpin berpengalaman yang mampu mengharmonikan kembali hubungan antara Bersatu dan Pas di dalam PN.
Beliau juga melihat Hamzah dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bakal membentuk gandingan yang kuat sekali gus membawa wajah baharu kepada PN.
“Saya jangka dalam mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi nanti kejutan akan berlaku dengan tidak mustahil Hamzah dipilih. Hamzah juga mempunyai hubungan baik dengan Pas. Hamzah juga diterima semua kaum sekali gus menjamin masa depan PN yang lebih baik dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Apa pun, keputusan siapa Pengerusi PN baharu sememangnya menarik perhatian dan dinanti kerana bakal menentukan kesinambungan PN terutama dalam menghadapi pilihan raya dijangka tidak sampai dua tahun lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain Hamzah dan Ahmad Samsuri, terdapat nama lain disebut antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan tidak mustahil jika Abdul Hadi turut menamakan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin mengesahkan Pas tidak akan mencalonkan Abdul Hadi yang merupakan presiden parti itu sebagai calon Pengerusi PN sekali gus membuka ruang kepada calon lain dalam kalangan Timbalan atau Naib Presiden mana-mana parti dalam gabungan itu.
Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berkata, beliau secara peribadi lebih berminat melihat Ahmad Samsuri untuk menerajui PN sekali gus juga bakal menjadi calon Perdana Menteri pertama dari Pas.
“Imejnya (Samsuri) lebih sederhana, moderat dan teknokrat serta kurang isu, lebih meyakinkan rakyat. Ulama perlukan lebih persediaan untuk memimpin negara. Insya-Allah, masanya akan tiba,” katanya.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pula melihat Tuan Ibrahim paling layak mengetuai PN sambil tidak menafikan kelayakan calon lain.
Kata Hashim di dalam Islam, terdapat empat syarat untuk seseorang itu menjadi pemimpin terbaik iaitu takut kepada Allah SWT, beramal dengan syariat, melakukan persediaan untuk akhirat dan terakhir reda dengan rezeki.
Menurutnya, Tuan Ibrahim baginya menepati empat syarat itu.
Mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN esok bakal menjadi penentu siapa akan mengetuai PN yang bakal diputuskan 15 pemimpin yang dijemput untuk hadir dalam mesyuarat berkenaan.-UTUSAN.










