JAKARTA: Belum pulih sepenuhnya daripada bencana di Sumatera, Indonesia kini dilanda banjir kilat di Sulawesi Utara sehingga mengorbankan 16 nyawa.
Jurucakap agensi penyelamat tempatan, Nuriddin Gumeleng berkata, hujan lebat pada awal Isnin mencetuskan banjir kilat di pulau Siau, yang terletak di wilayah Siau Tagulandang Biarom.
Beliau berkata, seramai 16 anggota penyelamat dikerahkan untuk mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang pada Selasa, selain 22 lagi dilaporkan cedera.
“Kami terus mengumpul maklumat daripada penduduk tempatan sekiranya terdapat lagi mangsa yang hilang,” katanya.
Setakat semalam, jalan-jalan utama di kawasan terjejas masih ditutup batu, serpihan dan lumpur tebal, kata Gumeleng.
Jurucakap agensi mitigasi bencana negara, Abdul Muhari dalam kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 700 orang dipindahkan ke sekolah dan gereja tempatan selepas banjir kilat.
Gabenor Sulawesi Utara, Yulius Selvanus berkata, banjir tersebut turut memusnahkan ratusan rumah dan bangunan kerajaan.
Banjir kilat itu berlaku pada kemuncak musim tengkujuh di pulau Sulawesi, seperti yang diramalkan oleh agensi cuaca Indonesia.
Agensi itu berkata, Pulau Jawa, Sulawesi, Maluku dan Papua dijangka mengalami kemuncak musim hujan sepanjang Januari dan Februari, sekali gus meningkatkan risiko banjir.
Sementara, hujan di bahagian lain Indonesia seperti Sumatera dan Borneo mencapai kemuncaknya pada November dan Disember 2025.
November lalu, banjir dan tanah runtuh akibat taufan mengorbankan lebih 1,000 orang di Sumatera, dengan ratusan lagi masih hilang.- AGENSI










