KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mengambil inisiatif menolak elaun perjalanan dan perkhidmatan sebanyak RM10,000 yang diperuntukan kepada beliau sebagai Pengerusi Menteri Besar Incorparated (MBI).
Abu Bakar berkata, beliau membuat pertimbangan itu berikutan memahami keperluan ekonomi kerajaan negeri ketika ini yang tidak berada dalam keadaan begitu selesa.
“Saya nampak keperluan kerajaan negeri hari ini, ekonomi sedang berada dalam keadaan tidak selesa dan cukup makan saja.
“Maka saya buat penetapan itu selepas mempertimbangkannya dan mempersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.
Dalam sidang akhbar sebagai Menteri Besar sebelum ini, Abu Bakar turut mengumumkan pemotongan gaji beliau sebanyak RM3,000 pada setiap bulan selepas dilantik memegang jawatan tersebut.
Selain beliau, gaji Exco kerajaan negeri turut dipotong sebanyak RM1,500 sebulan sebagai antara usaha menstabilkan ekonomi rakyat termasuk membantu mengurangkan bebanan kewangan negeri.
Abu Bakar berkata, beliau juga akan terus fokus bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat dan memastikan ekonomi negeri dapat ditingkatkan selepas ini.-UTUSAN









