GEORGE TOWN: Langkah Kementerian Pendidikan untuk menyelaraskan pakaian sekolah mulai 2027 dapat mengurangkan kos dan memudahkan urusan ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak.
Seorang bapa, Azmi Ibrahim, 44, berkata, pakaian seragam tambahan seperti baju pengawas, baju sukan, baju kokurikulum, vest serta pakaian unit beruniform menyebabkan kos perbelanjaan meningkat sehingga mencecah ratusan ringgit setiap tahun.
Katanya, sehubungan itu, dia melihat keputusan KPM berkenaan sebagai satu langkah yang wajar.
“Dengan pengurangan variasi pakaian seragam, ibu bapa dapat menjimatkan perbelanjaan serta menggunakan pakaian yang sama untuk tempoh yang lebih lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pihaknya sedang mengkaji pelaksanaan penyelarasan pakaian seragam sekolah dan keputusan mengenainya akan diumumkan selewat-lewatnya Ogos ini.
Bagi M. Sethu, 44, pula, walaupun dia hanya mempunyai seorang anak namun sebagai Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dia melihat sendiri realiti sebenar yang dihadapi oleh ramai ibu bapa.
Menurutnya, kos menyediakan pakaian seragam sekolah kini semakin meningkat, termasuk baju sekolah, kasut, stokin serta pakaian tambahan seperti baju sukan dan pakaian pengawas.
“Biasanya, sekurang-kurangnya dua pasang baju seragam diperlukan bagi seorang murid. Namun, untuk satu set lengkap sahaja, kosnya boleh mencecah lebih RM100 termasuk kasut dan stokin.
“Itu pun belum termasuk beg sekolah dan buku latihan,” katanya yang turut mencadangkan agar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan kepada RM200 selepas ini.
Ibu kepada tiga cahaya mata, Shaqirah Isa, 36, berkata, langkah KPM itu sebenarnya lebih banyak mengurangkan beban kepada ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah menengah berbanding di sekolah rendah.
“Untuk tahun ini, saya tidak membuat perbelanjaan tambahan bagi pakaian seragam kerana pakaian seragam tahun lepas masih elok. Anak hanya pakai sekali dalam seminggu dan selebihnya mereka akan memakai baju sukan,” katanya.-UTUSAN.










