'Saya akan jadi Presiden Venezuela bila tiba masa' - Machado

‘Saya akan jadi Presiden Venezuela bila tiba masa’ – Machado

MARIA CORINA MACHADO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, percaya beliau akan dipilih sebagai presiden apabila tiba masa yang sesuai, walaupun Amerika Syarikat (AS) meminggirkannya selepas menggulingkan Nicolas Maduro.

Presiden Donald Trump menyokong bekas timbalan presiden Maduro, Delcy Rodriguez, sebagai pemimpin interim negara kaya minyak itu selepas operasi ketenteraan AS pada 3 Januari untuk menawan Maduro.

“Saya percaya saya akan dipilih apabila tiba masa yang sesuai sebagai presiden Venezuela, presiden wanita pertama,” kata Machado kepada rancangan Fox & Friends di Fox News yang disiarkan semalam selepas bertemu Trump di Washington.

Machado mengemukakan bukti Maduro mencuri pilihan raya 2024, dakwaan yang disokong oleh Washington dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa.

Namun, Trump berkata, Machado tidak mempunyai sokongan mencukupi dalam kalangan rakyat Venezuela, dan memilih untuk terus menyokong Rodriguez, selagi beliau memberi jaminan tentang akses AS kepada rizab minyak Venezuela yang luas.

“Saya mahu berkhidmat untuk negara saya di tempat di mana saya lebih berguna. Saya mendapat mandat, dan saya mempunyai mandat itu,” kata Machado.

Machado, 58, menyerahkan pingat Hadiah Nobel Keamanan beliau kepada Trump pada Khamis, sebagai usaha untuk menarik sokongan presiden AS itu.

“Dia layak mendapatnya. Dan ia adalah detik yang sangat emosional, saya memutuskan untuk menghadiahkan pingat Hadiah Nobel Keamanan atas nama rakyat Venezuela,” katanya.

Tidak jelas sama ada Trump mengekalkan pingat itu selepas makan tengah hari mereka di Rumah Putih. Jawatankuasa Nobel Norway berkata, hadiah tersebut tidak boleh dipindahkan.

Trump pernah berkempen untuk memenangi Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu, yang didakwa sebagai usaha beliau menghentikan lapan perang, tetapi anugerah itu sebaliknya dimenangi oleh Machado.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN