BANDUNG BARAT: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melaporkan sebanyak 53 beg mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Kampung Pasirlangu, daerah Cisarua, ditemukan setakat hari kelima operasi.
Ketua Pejabat SAR Bandung, Ade Dian berkata, pada hari kelima operasi, pasukan penyelamat menemukan dua lagi beg mayat yang kemudiannya diserahkan kepada pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Wilayah Jawa Barat untuk proses pengenalan identiti.
“Setakat jam 4 petang, sebanyak 53 beg mayat ditemukan, dan pasukan DVI berjaya mengenal pasti identiti 38 mangsa,” katanya semalam.
Berdasarkan data terkini daripada agensi pengurusan bencana, jumlah penduduk terjejas dalam kejadian itu meningkat kepada 155 orang, merangkumi 75 mangsa terselamat manakala 80 orang pada mulanya dilaporkan hilang.
Daripada jumlah yang dilaporkan hilang itu, Dian memaklumkan 53 mangsa ditemukan, manakala 27 lagi masih gagal dikesan.
“Dua beg mayat yang ditemukan pada hari kelima ini kesemuanya dikesan di sektor A2,” tambahnya.
Menurut Dian, hujan lebat yang berterusan di Cisarua dan kawasan sekitarnya sejak awal pagi telah menyukarkan operasi pencarian.
Beliau berkata, pasukan SAR turut memperluaskan kawasan pencarian dengan mengatur gerak semula anggota dari sektor A2 ke sektor B2 selepas penilaian lapangan menunjukkan potensi keberadaan mangsa di kawasan tersebut.
Dian mengesahkan operasi SAR akan diteruskan selama 14 hari, selaras dengan keputusan kerajaan yang mengisytiharkan status respons kecemasan bencana.
“Mengikut status kecemasan tersebut, operasi SAR dirancang untuk diteruskan selama 14 hari dan penilaian semula akan dilakukan pada hari ketujuh,” katanya.
Bencana tanah runtuh melanda Kampung Pasirlangu di daerah Cisarua awal pagi Sabtu lalu selepas hujan lebat berterusan mencetuskan pergerakan tanah dan lumpur yang menimbus kawasan penempatan penduduk.- AGENSI










