KUALA SELANGOR: Komplikasi yang dialami seorang ibu hamil menjadi hikmah buatnya apabila anaknya dilahirkan pada 1 Januari di Hospital As Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, kelmarin.
Jelita Arabella Ahmad Awalli dilahirkan pada pukul 4.20 petang selepas ibunya, Ainal Kamalia Abdul Wahib bergegas ke hospital kerana mula berasa sakit.
Menurut Ainal Kamalia, 36, susulan komplikasi tersebut, Jelita Arabella dilahirkan menerusi pembedahan caesarean kerana keadaan anak keempatnya itu tidak stabil.
“Bila doktor buat pemeriksaan kandungan, didapati bayi dalam kandungan terbelit tali pusat. Doktor sarankan supaya bayi itu dilahirkan pada hari itu (1 Januari) .
“Selepas mendengar penjelasan doktor, saya akur demi keselamatan dan kesihatan, namun tidak pernah menyangka Jelita Arabella ‘mahu’ keluar sempena sambutan tahun baharu 2026,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya, mengikut jangkaan awal, anaknya itu sepatutnya lahir dua minggu lagi iaitu pada 19 Januari.
Turut lahir di hospital berkenaan pada tarikh sama ialah anak kepada pasangan Norhazrina Mohamad Sharif, 37, dan Ahmad Safawi Zainal Abidin.
Norhazrina, 37, memaklumkan, kelahiran anaknya pada pukul 4.45 petang 1 Januari itu dianggap sebagai rezeki berganda apabila doanya mahu seorang anak perempuan turut dikabulkan.
“Alhamdulillah, doa setiap hari saya selepas solat diperkenankan. Rasa bersyukur sebab saya sudah ada dua orang anak lelaki, bila ada yang ketiga rasa macam pelengkap keluarga.
“Namun, saya dan suami belum menamakan anak lagi kerana masih mencari nama yang sesuai,” ujarnya,” katanya.-UTUSAN.










