SEREMBAN: Tahap kesedaran masyarakat mengenai kebersihan awam masih lagi rendah sehinggakan pusat kitar semula yang disediakan untuk kemudahan awam sebaliknya dijadikan tempat pembuangan sampah.
Itu yang berlaku di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) Mantin di sini yang dikotori pelbagai sisa sampah hasil tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, DTRC Mantin diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai itu berkata, pusat kitar semula itu dijadikan pula sebagai lokasi tempat pembuangan sampah.
“Saya rasa sangat kecewa kerana masih terdapat individu yang tidak bertanggungjawab menyalah gunakan pusat itu untuk membuang sampah sesuka hati.
“DTRC bukan tempat untuk membuang sampah tetapi adalah tempat untuk kita menggalakkan orang ramai untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kitar semula.
“Bermula 1 Januari 2026, mana-mana individu yang didapati membuang sampah atau barangan tidak dibenarkan di kawasan DTRC boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 jam,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata, DTRC berkenaan dilengkapi beberapa kamera litar tertutup dan rakaman yang diperoleh akan dirujuk kepada pihak SWCorp bagi tindakan lanjut.
“Sikap sambil lewa terhadap kebersihan bukan sahaja mencemarkan persekitaran malah mencacatkan pemandangan sekali gus menjejaskan imej Negeri Sembilan khususnya ketika penganjuran Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026,” katanya.-UTUSAN.










