NEW YORK: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, tiba di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu malam, sebelum dipindahkan ke Bandar Raya New York, susulan penangkapannya oleh pasukan operasi khas AS di Caracas.
Ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengiringi Maduro ketika beliau menuruni pesawat kerajaan AS dan di sepanjang landasan di kemudahan Pengawal Kebangsaan di negeri New York.
Pemimpin berhaluan kiri itu kemudiannya diterbangkan dengan helikopter ke Manhattan, di mana pasukan penguatkuasaan undang-undang sedang menunggu, menurut imej AFP.
Maduro, 63, akan dibawa ke pejabat Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) sebelum ditempatkan di Pusat Tahanan Metropolitan, sebuah kemudahan persekutuan di Brooklyn.
Pusat tahanan itu adalah penjara yang sama di mana penyanyi rap, Sean ‘Diddy’ Combs ditahan sepanjang perbicaraannya tahun lalu.
Maduro dan isterinya dijangka dihadapkan ke mahkamah pada tarikh yang belum ditentukan di New York, atas tuduhan narkotik-keganasan, mengimport bertan-tan kokain ke AS, serta pemilikan senjata haram.– AFP










