Positif dadah selepas pulang dari Thailand

Positif dadah selepas pulang dari Thailand

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semakin ramai dalam kalangan rakyat negara ini khususnya dalam kalangan belia dan remaja terjebak dengan dadah sebaik sahaja mereka pulang dari Thailand.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memaklumkan, seramai 903 orang rakyat Malaysia telah dikesan positif dadah selepas mereka pulang daripada ‘bercuti’ atau berhibur di negara itu sejak 2024.

Lebih membimbangkan, daripada jumlah itu, majoritinya merupakan dalam kalangan remaja dan belia sekali gus mencerminkan ancaman serius terhadap keselamatan sosial negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah yang dikesan itu adalah hasil daripada ujian saringan air kencing dilakukan Unit Antidadah Sempadan (UAS) AADK di lima pintu masuk sempadan negara.

Langkah itu katanya, bagi mengenal pasti individu yang positif dadah selepas langkah Thailand menyahjenayahkan ganja pada tahun 2022.

Menurutnya, jumlah seramai 903 individu didapati positif dadah itu membabitkan 492 individu pada 2024 manakala 411 orang lagi sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, kebanyakan golongan remaja dan belia pergi ke Thailand untuk tujuan berhibur disebabkan tarikan ‘ganja’ yang ada di negara itu.

Katanya, iia bermula dengan sekadar ingin ‘cuba-cuba’ mengambil ganja atau dadah namun seterusnya ketagih sehingga ditahan ketika pulang dari negara jiran.

“Berdasarkan statistik sepanjang tahun lalu, seramai 411 rakyat Malaysia yang dikesan positif dadah selepas pulang dari Thailand melalui hasil pemeriksaan lima lokasi pintu sempadan.

“Sebanyak 307 dikenal pasti positif di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, ICQS Padang Besar (50 orang), ICQS Rantau Panjang (46), ICQS Pengkalan Kubor (6 orang) dan ICQS Bukit Bunga (2 orang),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati 96.8 peratus yang didapati positif dadah adalah mereka daripada golongan remaja belia iaitu berusia 19 hingga 40 tahun atau seramai 398 orang.

Selain itu, katanya, seorang remaja berusia 13 tahun hingga 18 tahun juga dikenal pasti positif dadah, lapan orang (41 hingga 50 tahun) dan satu orang (50 tahun ke atas).

“Ini secara langsung menunjukkan golongan remaja dan belia ini pergi ke Thailand kebanyakannya untuk tujuan berhibur disebabkan tarikan yang terdapat di negara tersebut.

“Malah, fenomena ‘cuba-cuba ketika berhibur’ terutamanya di negara jiran adalah isu yang sangat serius dan kritikal dalam landskap keselamatan sosial hari ini.

“Walaupun sering dianggap sebagai aktiviti santai atau “suka-suka”, ia mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk berkembang menjadi ketagihan kronik,” katanya.

Ruslin berkata, walaupun ada individu mendakwa dadah dimasukkan ke dalam minuman ‘tanpa pengetahuan’ dan hanya menyedarinya apabila dikesan positif ketika ujian saringan dijalankan di pintu masuk namun ia hanyalah naratif untuk melepaskan diri.

Katanya, dakwaan itu sering digunakan sebagai strategi pembelaan bagi melepaskan diri daripada sabitan mahkamah.

“Memang tidak dapat dinafikan terdapat kes-kes di mana seseorang individu mengambil dadah tanpa disedari kerana dadah dimasukkan ke dalam minuman.

“Bagaimanapun, kebiasaannya situasi ini berlaku untuk tujuan jenayah seksual atau rompakan, di mana mangsa dijadikan tidak berdaya dalam masa yang singkat.

“Namun dalam banyak keadaan dakwaan minuman telah dimasukkan dadah sering digunakan sebagai strategi pembelaan oleh individu yang positif ujian air kencing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×