BANGKOK: Polis Thailand menjalankan siasatan di tapak projek kereta api berkelajuan tinggi, susulan insiden kren tumbang menghempap tiga gerabak tren penumpang yang mengorbankan 32 nyawa dan mencederakan lebih 60 yang lain semalam.
Kejadian berlaku pada Rabu pagi di wilayah Nakhon Ratchasima, 230 kilometer (km) dari Bangkok, apabila kereta api yang dalam perjalanan dari ibu negara menuju wilayah Ubon Ratchathani melanggar kren tersebut.
Menurut Jabatan Perhubungan Awam Wilayah Nakhon Ratchasima, kren yang digunakan dalam pembinaan rangkaian kereta api laju itu tiba-tiba runtuh lalu menghempap tren yang sedang bergerak, mencetuskan kebakaran serta mengakibatkan gerabak terbalik.
Kebanyakan mangsa yang maut berada di dua daripada tiga gerabak yang terkena kren itu.
Rakaman langsung media tempatan menunjukkan pasukan penyelamat berkejar ke lokasi kejadian, dengan tren berwarna terang itu kelihatan terbalik sambil asap tebal menyelubungi kawasan.
“19 mayat sudah ditemui, tetapi operasi dihentikan sementara kerana kren mula bergeser dan berlaku kebocoran bahan kimia, menyebabkan pasukan terpaksa menarik diri kerana bimbang dengan keselamatan mereka,” kata Pegawai Polis Nakhon Ratchasima, Thatchapon Chinnawong.
Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn dalam kenyataannya berkata, seramai 195 penumpang berada di dalam kereta api itu dan beliau sudah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Landasan kereta api laju bertingkat itu merupakan satu daripada beberapa projek yang sedang dibina di atas landasan sedia ada.
Kren yang terlibat didakwa digunakan dalam projek pembinaan rangkaian kereta api laju bernilai AS$5.4 bilion (RM21.8 bilion), yang disokong China.
Projek itu dilaporkan bertujuan menghubungkan Bangkok dengan Kunming, China melalui Laos menjelang 2028, sebagai sebahagian daripada inisiatif infrastruktur mega Beijing, ‘Belt and Road’.
Bagaimanapun, Kedutaan Besar China di Thailand mendakwa tiada syarikat pembinaan atau pekerja China yang terlibat dalam insiden itu.
Kementerian Luar China berkata, bahagian projek tempat kejadian berlaku dibina oleh sebuah syarikat Thailand.










