QUITO: Polis Ecuador menemukan lima kepala manusia digantung dan dipamerkan di sebuah pantai pelancongan, ketika negara itu terus bergelut dengan gelombang kumpulan keganasan.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan lima kepala diikat dengan tali pada dua batang kayu di pantai Puerto Lopez, destinasi pemerhatian ikan paus yang popular di barat daya.
Di sebelahnya turut diletakkan papan kayu memaparkan mesej ancaman anggota kumpulan yang memeras ugut bayaran perlindungan, dikenali sebagai ‘kad vaksin’.
“Taman ini milik kami. Teruskan merompak nelayan dan meminta kad vaksin, kami sudah mengenal pasti kamu,” menurut mesej tersebut.
Presiden Daniel Noboa melancarkan kempen bersenjata terhadap kumpulan jenayah, namun operasi ketenteraan selama dua tahun gagal membendung pertumpahan darah.
Di pantai yang sama pada Disember lalu, sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk bayi terbunuh dalam insiden keganasan yang dipercayai berpunca daripada pertembungan antara kumpulan samseng tempatan.
Ecuador merupakan hab utama pengedaran dadah antarabangsa, yang terletak di antara negara pengeluar kokain Peru dan Colombia.
Negara itu menamatkan tahun 2025 dengan kadar pembunuhan tertinggi dalam sejarah, iaitu 52 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menurut Balai Pemerhati Jenayah Terancang.- AFP










