PM Britain ditawar sertai Lembaga Keamanan Gaza

PM Britain ditawar sertai Lembaga Keamanan Gaza

KEIR STARMER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dilaporkan ditawarkan tempat dalam Lembaga Keamanan Gaza yang ditubuhkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Starmer diminta menyertai lembaga itu oleh seorang pegawai kanan pentadbiran Trump.

Menurut laporan The Guardian, Starmer dijangka menerima tawaran berkenaan tetapi masih belum menerima jemputan rasmi, sementara perbincangan mengenai komposisi sebenar lembaga itu masih diteruskan.

Starmer dilihat berjaya membina hubungan baik dengan Trump, walaupun kedua-duanya berbeza pandangan mengenai keputusan United Kingdom (UK) mengiktiraf negara Palestin tahun lalu.

Lembaga berkenaan dijangka memantau pentadbiran Gaza secara sementara serta mengurus usaha pembinaan semula wilayah itu. Ia akan dianggotai pemimpin-pemimpin dunia, dengan laporan media AS menyatakan Trump mungkin mengumumkan keahlian lembaga itu seawal minggu ini.

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair pada mulanya dijangka menyertai lembaga yang akan dipengerusikan oleh Trump sendiri, dengan Blair menyifatkan rancangan AS itu sebagai peluang terbaik untuk menamatkan dua tahun peperangan, penderitaan dan kesengsaraan.

Bagaimanapun, Blair, yang sering dipandang dengan rasa curiga dan penentangan berhubung peranannya dalam pencerobohan Iraq yang diterajui AS pada 2003, telah digugurkan secara senyap daripada pertimbangan selepas beberapa negara Timur Tengah membantah penglibatannya.

Sebaliknya, beliau dijangka menyertai satu lembaga eksekutif berasingan bersama penasihat Trump, Jared Kushner dan Steve Witkoff.

Ketika bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One pada Ahad, Trump berkata, lembaga keamanan itu sedang dibentuk dan mendapat minat antarabangsa yang mahu turut sama terlibat.

“Pada asasnya, ia terdiri daripada pemimpin paling penting dari negara-negara paling penting. Anda ambil pemimpin dan negara paling penting, itulah yang akan membentuk lembaga keamanan ini,” katanya.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN