PARIS: Perancis menjadi negara kedua di dunia selepas Australia yang mengharamkan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 15 tahun.
Kelmarin, ahli Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang tersebut, langkah yang disokong Presiden Emmanuel Macron untuk melindungi pengguna bawah umur daripada terlalu banyak masa di hadapan skrin.
Perhimpunan Kebangsaan meluluskan teks tersebut dengan undian 130 menyokong berbanding 21 menentang dalam sesi panjang pada Isnin hingga Selasa.
Langkah itu kini akan dibentangkan di Senat, dewan tinggi Perancis, sebelum menjadi undang-undang.
Undang-undang itu turut menetapkan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah menengah.
Macron memuji undian itu sebagai ‘langkah utama’ untuk melindungi kanak-kanak dan remaja Perancis dalam satu hantaran di X.
“Emosi kanak-kanak dan remaja kita bukan untuk dijual atau dimanipulasi, sama ada oleh platform Amerika atau algoritma China,” kata Macron dalam satu video pada Sabtu.
Pihak berkuasa mahu langkah itu dikuatkuasakan bermula awal tahun persekolahan 2026 untuk akaun baharu.
Bekas Perdana Menteri, Gabriel Attal, yang mengetuai parti Renaissance di Dewan Rakyat, berharap Senat meluluskan rang undang-undang itu menjelang pertengahan Februari supaya larangan berkuat kuasa pada 1 September.
Katanya, platform media sosial akan diberi masa sehingga 31 Disember untuk menyahaktifkan akaun sedia ada yang tidak mematuhi had umur.- AFP










