GENEVA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan menghantar ribuan kit rekreasi dan peralatan sekolah ke Gaza dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Agensi itu menyifatkan perkembangan tersebut sebagai titik perubahan penting selepas hampir dua tahun bekalan bahan pendidikan ke wilayah berkenaan disekat, lapor agensi Anadolu.
Jurucakap UNICEF, James Elder memberitahu pemberita di Geneva, penghantaran itu melibatkan ribuan kit rekreasi serta beratus-ratus kit sekolah dalam karton.
Setakat ini, UNICEF menghantar lebih 4,400 kit rekreasi dan 240 kit sekolah dalam kotak ke Gaza. Menjelang akhir minggu ini, agensi itu merancang untuk melengkapkan penghantaran tambahan yang akan membawa jumlah keseluruhan melebihi 11,000 kit.
Menurut Elder, kit pendidikan tersebut direka khas bagi membolehkan sesi pembelajaran dimulakan dengan serta-merta. Ia mengandungi alat tulis, buku latihan, papan batu, bahan bantu mengajar seperti jam dan glob, serta peralatan asas penyelenggaraan bilik darjah.
“Dua tahun merupakan tempoh yang sangat lama bagi kanak-kanak dan organisasi seperti UNICEF untuk meneruskan agenda pendidikan tanpa bahan-bahan ini. Akhirnya, kita mula melihat perubahan yang nyata,” katanya.
Data UNICEF menunjukkan lebih 700,000 kanak-kanak usia sekolah di seluruh Semenanjung Gaza tidak mendapat pendidikan formal sejak Oktober 2023. Pada masa ini, agensi tersebut sedang menyokong lebih 135,400 kanak-kanak di lebih 110 ruang pembelajaran di seluruh Gaza.
Melalui fasa pertama program ‘Kembali Belajar’, UNICEF dan rakan kerjasama menyasarkan untuk meningkatkan akses pembelajaran secara bersemuka daripada 135,400 kepada 336,000 kanak-kanak sepanjang tahun 2026.
“Kami berharap semua kanak-kanak usia sekolah dapat kembali belajar secara bersemuka pada tahun 2027,” tambah Elder.
Situasi pendidikan di Gaza kekal kritikal memandangkan lebih 90 peratus bangunan sekolah dilaporkan musnah atau rosak akibat serangan berterusan selama hampir dua setengah tahun, sekali gus meletakkan seluruh generasi dalam risiko kehilangan masa depan. -AGENSI










