KANGAR: Kemelut politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar dan pengguguran keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas menunjukkan perbezaan pendekatan antara kepimpinan Pas Pusat dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Dalam keadaan di mana Pas Pusat menekankan naratif pengkhianatan terhadap tiga ADUN terbabit, Hashim pula memilih pendekatan perpaduan, sejajar dengan prinsip musyawarah dan keharmonian dalam parti serta Perikatan Nasional (PN).
Asasnya, konflik politik di Perlis boleh dikendalikan dengan lebih mudah sekiranya Pas Pusat memahami isyarat daripada Istana Perlis sejak lebih setahun lalu yang menekankan keperluan menukar Menteri Besar kepada pemimpin lain untuk memulihkan hubungan dengan institusi raja.
Kelewatan Pas Pusat dalam melaksanakan langkah itu akhirnya mencetuskan ketegangan sehingga lapan ADUN termasuk tiga daripada Pas menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Dakwaan bahawa mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) masih belum dibuktikan secara sah namun isu ini telah menjadi bahan politik yang mencorakkan naratif pengkhianatan, termasuk tuduhan terhadap Bersatu dan tindakan penggantungan tiga ADUN terbabit.
Hashim, walaupun sedar akan risiko kritikan, beliau memilih pendekatan berbeza untuk memastikan keharmonian Pas Perlis dan PN di peringkat pusat.
Langkah beliau bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai kontroversi tetapi ia sebenarnya bertujuan memulihkan perpaduan dan menyokong pendekatan berdamai.
Pendekatan ini mencerminkan prinsip ulama yang menekankan musyawarah, perundingan dan keseimbangan kuasa dalam parti.
Sementara itu, sumber dalaman Pas memberitahu, dalam struktur parti itu, peranan Mursyidul Am bukan sekadar penasihat tetapi sebagai penjaga prinsip dan kesatuan dalaman parti.
Malah katanya, peranan Majlis Syura Ulama juga cukup besar dalam Pas dan perlu dihormati.
“Semasa zaman Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat (Allahyarham) sebagai Mursyidul Am, majlis itu begitu tegas dan cukup digeruni. Di peringkat Pas Pusat sendiri pun pada masa itu, aura Nik Aziz sangat digeruni khususnya dalam menentukan dasar atau keputusan besar parti itu.
“Dalam kemelut politik Perlis, mengapa peranan Hashim seolah-olah diketepikan. Meski aura Hashim tidak sekuat Nik Aziz namun jawatan beliau sebagai Mursyidul Am sebenarnya membawa autoriti dan ideologi besar yang hampir setara dengan Presiden parti,” katanya.
Kata sumber itu, dalam struktur Pas, peranan Mursyidul Am bukan hanya penasihat tetapi penjaga prinsip dan kesatuan dalaman parti dan sebarang tindakan sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Syura.
“Majlis Syura perlu dihormati sebagai badan yang tertinggi di dalam parti. Pendekatan Hashim yang bertentangan dengan Pusat mungkin meletakkan beliau dalam kedudukan berisiko namun beliau mengambil risiko tersebut.
“Langkah itu dilihat bagi menghalang perpecahan lebih besar di dalam Pas termasuk PN seterusnya mengembalikan keharmonian. Itulah peranan Mursyidul Am yang perlu dihormati,” katanya.-UTUSAN.










