Pemimpin dunia kutuk Amerika

Pemimpin dunia kutuk Amerika

PENUNJUK perasaan berkumpul di hadapan Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat (AS) semalam selepas Presiden AS, Donald Trump mengesahkan tentera negara itu melakukan serangan berskala besar di Caracas yang mengakibatkan penangkapan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seluruh pemim­pin dunia mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) menye­rang Venezuela yang di­si­fatkan sebagai melanggar ke­­daulatan dan norma anta­rabang­sa.

Negara yang mengecam antaranya China, Perancis, Brazil, Sepanyol, Itali, Kesatuan Eropah (EU) dan tidak terkecuali Malaysia yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Presiden, Nicolas Maduro dan isterinya dibebaskan segera.

China mengakui terkejut de­ngan tindakan AS itu dan menggesa AS menghentikan usaha menggulingkan kerajaan Vene­zuela.

“China menentang tingkah laku hegemonik oleh AS yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa secara serius, men­cabuli kedaulatan Venezuela selain mengancam keamanan dan keselamatan di Amerika Latin dan Caribbean.

“Kami menggesa AS supaya mematuhi undang-undang antarabangsa serta tujuan dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). China juga menyeru AS segera melepaskan mereka dan menghentikan usaha untuk menggulingkan kerajaan Venezuela sebaliknya menyelesaikan isu ini melalui dia­log atau rundingan,” jelas kenyataan Kementerian Luar Beijing.

Kelmarin, AS melancarkan serangan mengejut ke atas Venezuela selepas siri letupan menggegarkan ibu negara Caracas, susulan ancaman berbulan-bulan Presiden Donald Trump terhadap seterunya, Maduro.

Operasi tersebut membawa kepada penangkapan pemim­pin berhaluan kiri itu dan iste­rinya, Cilia Flores.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot pula berkata, operasi AS di Venezuela meruntuhkan undang-undang an­tarabangsa.

“Operasi ketenteraan yang membawa kepada penahanan Maduro melanggar prinsip tidak menggunakan kekerasan, yang menjadi asas undang-undang antarabangsa. Perancis menegaskan tiada penyelesaian politik yang berkekalan boleh dikenakan dari luar dan hanya rakyat sendiri yang berhak menentukan masa depan mereka,” katanya.

Anwar pula berkata, Maduro dan isterinya mesti dibebaskan tanpa sebarang kelewatan.

Beliau berkata, operasi ke­tenteraan AS merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta penggunaan kekerasan secara tidak sah kepada sebuah negara berdaulat.

“Tindakan sedemikian me­rupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan bererti penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat. Presiden Venezuela dan isterinya perlu dibebaskan tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walau apa pun alasan AS, pe­nyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui campur tangan luar bakal mendatangkan bahaya.

Katanya, tindakan itu dapat menghakis kekangan terhadap penggunaan kuasa antara negara dan melemahkan rangka kerja perundangan yang menjadi asas ketertiban antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menyifatkan pengeboman AS dan penahanan Maduro sebagai tindakan yang melampaui ‘garisan merah’ yang tidak boleh diterima.

“Menyerang negara lain, dengan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, adalah langkah pertama ke arah dunia yang dipenuhi keganasan, kekacauan dan ketidakstabilan, di mana undang-undang rimba mengatasi multilateralisme.

“Serangan AS itu mengingatkan kembali detik-detik paling buruk campur tangan dalam politik Amerika Latin, sekali gus mengancam keamanan di seluruh rantau ini. Komuniti antarabangsa, melalui PBB, perlu bertindak balas dengan tegas terhadap episod ini,” katanya.

Kementerian Luar Sepanyol turut senada malah menawarkan diri sebagai perantara bagi membantu mencari penyelesaian secara aman terhadap krisis di Venezuela.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni pula memantau rapat situasi di Venezuela bagi memastikan keselamatan ratusan ribu warganegaranya yang kini berada di negara itu.

“Saya sentiasa berhubung dengan Menteri Luar Itali, Antonio Tajani kerana gusar de­ngan keadaan kira-kira 160,000 rakyat Itali yang kini menetap di Venezuela dan kebanyakannya memiliki kewarganegaraan berganda,” katanya.

Wakil Tinggi Kesatuan Ero­pah (EU) bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Kaja Kallas berkata, beliau me­ngadakan perbincangan de­ngan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio serta duta EU di Caracas berhubung perkembangan terkini di Venezuela.

“Dalam apa jua keadaan, prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB mesti dihormati. Kami menyeru semua pihak supaya menahan diri dan keselamatan warga EU di negara itu adalah keutamaan utama kami.” katanya.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pula menegaskan negaranya tidak terlibat dalam serangan tersebut dan akan berhubung dengan Trump bagi mendapatkan gambaran penuh
“Saya mahu memastikan fakta terlebih dahulu dan bercakap dengan Trump serta sekutu-sekutu lain.

“Saya boleh menyatakan dengan jelas kami tidak terlibat dan saya percaya kita semua perlu menegakkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel pula menuduh Washington melancarkan ‘serangan jenayah’ terhadap Venezuela.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN