KANGAR: Seorang pembantu keselamatan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) yang ditempatkan di Pejabat Kastam negeri, di sini, maut dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Stadium hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 7.04 pagi itu, mangsa, Mohd Asrul Affandy Kassim, 41, turut dilaporkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal kejadian mendapati pemandu kereta itu yang merupakan seorang wanita berusia 53 tahun sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Utama Indah ke tempat kerja manakala mangsa pula sedang menunggang motosikal dari Pejabat Kastam negeri pulang ke rumah.
“Apabila sampai di tempat kejadian di Jalan Stadium berdekatan Pejabat Kastam Perlis, mangsa dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta itu,” katanya, di sini, hari ini.
Yusharifuddin berkata, ekoran kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu wanita mengalami sakit dada dan luka di mulut.
Katanya, pemandu wanita itu juga telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi menerima rawatan lanjut.
“Jenazah mangsa turut dibawa ke HTF untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Katanya, keadaan motosikal mangsa juga rosak teruk pada semua bahagian manakala kereta terbabit pula rosak pada bahagian hadapan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN










