Pemandu van Thailand rai RM30,000 sebulan angkut pekerja kedai tomyam masuk Malaysia

Pemandu van Thailand raih RM30,000 sebulan angkut pekerja kedai tomyam masuk Malaysia

MUHAMMAD Kifli Ma Hassan (kiri) bersama pegawainya memeriksa sebuah van persendirian dari Thailand yang ditahan menerusi Ops Khas Tunggak Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemandu van persendirian Thailand mampu meraih pendapatan mencecah RM30,000 sebulan hasil mengangkut pekerja kedai tomyam masuk ke negara ini tanpa menggunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP).

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, siasatan mendapati, setiap seorang penumpang dari negara Gajah Putih itu dikenakan bayaran tambang RM70 hingga RM150.

Katanya, bayaran itu melibatkan perjalanan sehala ke negara ini dari Thailand dan sebuah van tersebut mampu membawa seramai lapan hingga 10 penumpang untuk satu trip.

“Trip itu bermula dari pintu sempadan di Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak. Siasatan lanjut mendapati, mereka membuat kira-kira lima ‘trip’ seminggu dengan kebanyakannya membawa pekerja kedai tomyam.

“Kebanyakan pekerja yang masuk untuk mencari rezeki di Lembah Klang dan Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Khas Tunggak Kenderaan Thailand di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.

Muhammad Kifli memberitahu, pemandu van itu dikesan menggunakan modus operandi dengan membawa masuk penumpang dan meninggalkan mereka di pintu sempadan.

Katanya, penumpang kemudian akan berjalan sejauh dua kilometer sebelum pemandu van mengambil semula seterusnya membawa ke destinasi yang dituju.

“Kebanyakan pemandu van Thailand mempunyai penumpang tetap yang akan masuk dari negara itu ke Malaysia. Pemandu van Thailand tidak boleh membawa penumpang di negara ini dan ICP hanya dikeluarkan untuk kenderaan persendirian sahaja.

“Setakat ini, sebanyak lebih 1,000 van dari Thailand yang masuk melalui pintu masuk di empat negeri,” ujarnya.

Muhammad Kifli berkata, sejak melaksanakan Ops Tunggak Kenderaan Thailand bermula 16 Januari hingga hari ini, sebanyak 80 buah van Thailand disita atas kesalahan tiada ICP, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan pamer ICP tidak mengikut kehendak yang ditetapkan.

“Di Kota Bharu sahaja, sebanyak 13 buah van Thailand ditahan dalam operasi itu. Kenderaan itu akan disemak kesalahan lampau dan akan dilepaskan sekiranya pemandu van tersebut menyelesaikan semua saman yang tertunggak.

“Sepanjang tempoh operasi, sebuah van Thailand didapati memiliki 45 saman tertunggak melibatkan kesalahan ICP dan trafik dengan jumlah saman sebanyak RM14,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN